Kuih-muih di Malaysia diklasifikasikan sebagai pencuci mulut yang enak dimakan pada bila-bila masa. Tibanya bulan Ramadan, orang ramai gemar memakan kuih terutamanya kuih talam yang mempunyai tekstur lembut, berkrim, berwarna-warni dan manis untuk dimakan.
Kini terdapat banyak jenis kuih talam yang hadir dalam pelbagai bentuk, saiz, warna dan rasa yang berbeza. Disenaraikan beberapa jenis kuih talam yang sangat menyelerakan apatah lagi di bulan puasa seperti berikut:
1. Talam Seri Muka
Seri muka yang juga dikenali sebagai puteri salat adalah sejenis kuih talam yang diperbuat dalam talam besar. Ia mempunyai dua lapisan di mana lapisan pertama yang berwarna putih diperbuat daripada pulut dan lapisan atasnya berwarna hijau yang berasaskan telur dan santan.
Makanan warisan Malaysia ini digemari orang ramai kerana ia mempunyai rasa krim yang enak dan manis untuk dimakan pada waktu pagi dan petang.

2. Talam Ubi Kayu
Adakah anda penggemar ubi kayu? Cubalah rasa talam ubi kayu yang sedap, berlemak manis dan enak untuk dimakan. Ia dimasak dalam dua lapis di mana lapisan bawah dihidangkan dengan ubi kayu manakala lapisan atas diperbuat daripada kastard santan yang dikukus dan dihidangkan dalam potongan saiz kecil untuk dimakan.
Ubi kayu, santan segar, tepung beras, tepung ubi dan tepung gandum digunakan sebagai bahan utama bagi memasak kuih ini.

3. Talam Koleh Kacang
Kuih talam yang lembut dan mudah dimasak adalah talam koleh kacang kerana ia tidak perlu dikukus atau dibakar tetapi dimasak dalam kuali sahaja. Kuih popular ini dimasak daripada tepung kacang hijau, minyak kelapa, santan dan gula merah sebagai bahan utama dan diakhiri dengan taburan tahi minyak.
Kemanisan gula merah yang seimbang bersama rasa kental semasa makan membuatkan kuih ini diminati ramai. Ia boleh didapati di semua gerai makanan khususnya di bazar ramadan.

4. Talam Kuih Lapis
Kuih warisan Melayu yang popular dan terkenal di seluruh dunia adalah talam kuih lapis. Ia juga dikenali sebagai kuih pelangi.
Berbentuk lebih daripada lima lapisan, kuih talam ini sangat sedap untuk dimakan begitu sahaja kerana keenakan rasa lemak, manis dan teksturnya yang lembut. Kuih ini asalnya dibuat dalam warna putih dan merah yang kini divariasikan dengan pelbagai warna bagi menarik minat pelanggan.

5. Talam Keladi
Keladi adalah makanan terkenal sejak zaman purba di mana ia kini telah diinovasikan kepada pelbagai jenis kuih termasuk talam keladi. Kuih ini mempunyai dua lapisan iaitu lapisan pertama berwarna putih yang diperbuat daripada tepung beras, tepung ubi, santan dan gula.
Manakala lapisan atas atau lapisan kedua yang berwarna ungu dimasak daripada santan, keladi, tepung gandum dan tepung beras sebagai bahan utama. Keenakan keladi dan lapisan santan berkrim menyerlahkan rasa kuih ini.

6. Talam Cendol
Cendol bukan sahaja menjadi pencuci mulut berasaskan minuman berais tetapi ia juga diinovasikan sebagai bahan utama untuk membuat kuih talam moden bagi mevariasikan pilihan sedia ada.
Keenakan talam ini berganda dengan ramuan dari cendol, santan dan gula melaka. Ia sangat sesuai dimakan apabila sejuk pada waktu petang.
7. Talam Labu
Kuih talam labu jarang ditemui di gerai biasa tetapi ia mendapat sambutan hangat pada bulan puasa. Kuih ini mempunyai dua hingga empat lapis yang diperbuat daripada labu, tepung jagung, tepung sagu, santan, gula dan pandan sebagai bahan utama.
Keenakan talam labu sangat menyerlah kerana rasa lemak daripada santan dan manis daripada labu mempengaruhi kuih ini. Jangan lepaskan peluang mencuba kuih ini di bazar ramadan nanti!