Minyak enjin memainkan peranan yang penting dalam prestasi kenderaan. Pemilihan minyak enjin yang sesuai adalah langkah penting untuk memastikan enjin berfungsi dengan baik dan memanjangkan jangka hayat kenderaan. Ikuti panduan disenaraikan bagi membantu memilih minyak enjin yang sesuai untuk kenderaan anda.
1. Periksa Buku Manual
Langkah pertama yang perlu dilakukan adalah merujuk kepada buku manual kenderaan anda. Buku manual menyediakan informasi terperinci mengenai jenis minyak enjin yang sesuai untuk enjin kenderaan anda. Ia menyatakan spesifikasi minyak enjin, kelikatan yang disyorkan dan cadangan jangka waktu perubahan minyak. Buku manual adalah sumber maklumat yang sah dan selalu menjadi panduan terbaik dalam pemilihan minyak enjin.
2. Jenis Minyak Enjin
Terdapat pelbagai jenis minyak enjin di pasaran, di mana setiap jenis direka untuk memenuhi keperluan enjin tertentu. Antaranya termasuk minyak sintetik penuh, separa sintetik atau mineral. Minyak enjin mineral adalah minyak mentah petroleum yang telah ditapis tanpa menerima sebarang penambahan dari segi formula minyaknya. Minyak enjin separa sintetik mengandungi campuran mineral dan sintetik manakala, minyak enjin sintetik penuh pula dihasilkan sepenuhnya daripada bahan sintetik.
Penggunaan minyak sintetik atau separa sintetik lebih baik daripada minyak jenis mineral kerana ia mempunyai ketahanan yang lama dan prestasi lebih baik. Oleh itu, pilih jenis minyak enjin yang sesuai dengan keperluan enjin kenderaan anda dan gaya pemanduan.
3. Kenal Pasti Tahap Kelikatan
Kelikatan minyak enjin adalah faktor penting dalam pemilihan minyak enjin. Tahap kelikatan merujuk kepada ketumpatan dan kepekatan minyak. Enjin yang berbeza mungkin memerlukan kelikatan yang berbeza. Kelikatan minyak enjin biasanya dinyatakan dalam penandaan SAE (Society of Automotive Engineers), seperti SAE 10W-30. SAE 10W-30 menunjukkan kelikatan minyak pada suhu rendah (W untuk winter) dan suhu tinggi. Oleh itu, periksa buku manual untuk mengetahui tahap kelikatan yang disyorkan untuk kenderaan anda.
4. Gunakan Minyak Enjin yang Mempunyai Sijil
Penting untuk menggunakan minyak enjin yang mempunyai sijil atau telah disahkan oleh organisasi yang berwibawa seperti API (American Petroleum Institute) atau ACEA (European Automobile Manufacturers’ Association). Minyak enjin yang mempunyai sijil menandakan bahawa ia telah diuji dan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan oleh industri. Sijil memberikan keyakinan kepada pengguna mengenai keberkesanan dan keselamatan minyak enjin tersebut.