Julang Negaraku Malaysia ke Podium Global

Merealisasikan aspirasi merdeka dengan menyumbang mengikut cara dan kemampuan sendiri bagi meletakkan nama baik Negara di persada kecemerlangan.

Penemuan artifak seperti tulang, batu dan sisa makanan penghuni gua di Asia Tenggara termasuk Malaysia menunjukkan bukti penyebaran kebudayaan pada zaman prasejarah kira-kira 60,000 tahun dahulu.

Penemuan beberapa tapak arkeologi zaman peralihan selepas prasejarah turut membuktikan wujud penempatan pesisiran pantai seawal abad ke-2 Masihi.

 

Sejarah dan penemuan artifak seterusnya mencatatkan kemunculan kerajaan awal sebelum abad ke-10 yang merupakan penempatan pesisir pantai dan pelabuhan kecil. Kerajaan awal ini termasuk Langkasuka dan Lembah Bujang di Kedah, Beruas dan Gangga Negara di Perak serta Pan Pan di Kelantan.

Di Borneo, kewujudan kerajaan purba Marudu sebelum abad ke-13 Masihi dan Santubung lebih awal lagi membuktikan telah wujud entiti politik yang mendahului kewujudan Kesultanan Brunei serta Kesultanan Sulu.

Semenanjung Tanah Melayu menjadi pusat perdagangan Asia Tenggara apabila China dan India memulakan perdagangan menerusi pelabuhan di Selat Melaka sekaligus membawa pengaruh besar kepada kebudayaan setempat di rantau ini.

Zaman Kegemilangan Melaka

Sejarah Kesultanan Melayu Melaka bermula sekitar 1400 Masihi apabila Kesultanan Melaka diasaskan oleh Parameswara, seorang bangsawan Srivijaya dari Palembang.

Kedudukan Melaka yang strategik iaitu titik pertemuan antara Asia Timur dan Asia Barat membolehkan ia muncul sebagai pusat perdagangan utama. Kedatangan pedagang China dan Arab, yang turut membawa agama Islam, menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entreport berstatus kosmopolitan dan penuh dengan ratusan kapal dagang yang berlabuh setiap tahun.

Antara yang didagangkan di pelabuhan Melaka ialah sutera dan porselin dari China, kain (Gujarat dan Pantai Coromandel, India), kapur barus (Borneo), cendana (kepulauan Timor), buah pala dan bunga cengkih (Maluku), emas dan lada hitam (Sumatera) serta bijih timah (Tanah Melayu).

Melaka terus masyhur sebagai pusat perdagangan Melayu di Asia Tenggara dan sangat berpengaruh dari segi ekonomi serta budaya sehingga Bahasa Melayu menjadi lingua franca di rantau ini. Bahasa Melayu yang dituturkan di Malaysia hari ini selain wilayah di Sumatera adalah berasaskan dialek Melaka.

Adab, amalan dan adat istiadat istana zaman pemerintahan Kesultanan Melaka menjadi asas dan diwarisi oleh istana-istana Kesultanan Melayu negeri-negeri di Semenanjung hingga ke hari ini.

Pengaruh Melaka dalam minda Melayu terus kekal hingga sekarang. Asas budayanya menjadi identiti utama negara dan rantau ini yang berteraskan peradaban Melayu yang mencapai kemuncak kegemilangan ketika zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka lebih lima abad lalu.

Penjajahan dan Kemerdekaan

Kemakmuran ekonomi, kedudukan strategik serta kekayaan dengan sumber alam menarik minat kuasa Barat untuk menakluk rantau ini. Era penjajahan ke atas Tanah Melayu bermula pada 1511 apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis. Kemudian pada 1641, Belanda mengambilalih dan pada 1824 Tanah Melayu menjadi jajahan British melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Jepun kemudian menakluki Tanah Melayu dan menjajah dari 1941-1945.

Kemerdekaan Tanah Melayu daripada British diperolehi pada 1957 dan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi Perdana Menteri pertama. Pada 1963, sebuah Persekutuan baru yang dinamakan Malaysia terbentuk melalui penyertaan Singapura, Sarawak dan Sabah. Namun pada 1965, Singapura berpisah daripada Malaysia dan sehingga kini Malaysia kekal dengan tiga entiti iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Detik rasmi Tanah Melayu mencapai kemerdekaan adalah pada 31 Ogos 1957. Hari ini, rakyat Malaysia meraikan tarikh itu sebagai Hari Kebangsaan. Kemerdekaan membawa erti kebebasan dan perjuangan membebaskan diri daripada cengkaman penjajah dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang bebas dan berdaulat seterusnya merealisasikan aspirasi merdeka dengan menyumbang mengikut cara dan kemampuan sendiri.

Keharmonian Budaya di Malaysia

Kepelbagaian budaya kaum di Malaysia menjadi keunikan negara ini. Dengan Melayu sebagai majoriti, Malaysia turut menaungi kaum Cina, India dan penduduk Bumiputera serta 80 kaum etnik yang lain, terutamanya di Sabah dan Sarawak. Antaranya, Baba dan Nyonya, Kadazandusun, Iban, Penan, Bidayuh, Kedayan, Bajau, Murut dan Melanau.

Kebudayaan antara lain merangkumi bahasa, cara hidup, kepercayaan, adat resam, komunikasi dan sebagainya untuk membentuk keharmonian budaya di Malaysia.

Melayu sebagai anak watan menunjangi keharmonian budaya di negara ini dalam membina serta memperkasakan budaya nasional.

Kepelbagaian budaya di Malaysia adalah pengertian mengenai rakyatnya yang terdiri daripada bangsa Melayu bersama kaum Cina, India dan suku peribumi lain termasuk di Sabah serta Sarawak, manakala persamaan adalah semua etnik itu bersama-sama berhak di atas Malaysia dalam semua aspek.

Kemakmuran Malaysia adalah sebuah hasil kebersamaan dan menerima perbezaan itu. Ia adalah konsep, idealisme dan gagasan yang membentuk kesedaran kolektif semua etnik untuk membentuk negara bangsa merangkumi pelbagai aspek daripada ekonomi hingga persoalan budaya.

Perbezaan dan persamaan kaum di Malaysia kini sebenarnya sebuah idea untuk membina ekonomi, politik dan keadilan sosial yang telah disepakati sejak kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 lalu.

Perbezaan kaum adalah satu wadah yang unik ke arah mewujudkan Bangsa Malaysia yang berasaskan kemajmukan tersebut.

Malaysia Membangun

Sepanjang lebih 62 tahun bebas daripada penjajahan, Malaysia telah menjalani era baharu pembangunan negara yang begitu pesat dalam pelbagai bidang.

Perubahan bukan sahaja berlaku dalam bentuk pembangunan fizikal malah boleh dilihat dari segi pembentukan sahsiah masyarakat negara ini. Masyarakat telah berubah selari dengan pembangunan pesat negara. Inilah antara nikmat kemerdekaan apabila kemajuan dapat dicapai hasil daripada kemerdekaan.

Sebagai sebuah negara majmuk, Malaysia menjadi contoh kepada negara membangun lain di dunia kerana rakyatnya dapat hidup aman, damai dan harmoni tanpa ada sebarang konflik perkauman.

Pembangunan infrastruktur Malaysia berkembang dengan begitu pesat sekali. Malaysia terus membangun dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi, pengangkutan, pendidikan, sukan, pelancongan, industri, pembangunan sahsiah serta modal insan, malah tidak lupa, pertanian.

Pembangunan teknologi turut membentuk rangkaian komunikasi yang canggih menerusi jaringan maklumat Internet yang merapatkan jurang hubungan Malaysia dengan dunia luar sekaligus melahirkan masyarakat yang lebih bijak dan maju ke hadapan untuk bersaing dalam era digital sekarang.

Terlalu banyak testimoni dan rekod pencapaian Malaysia serta rakyatnya yang mencakupi segenap bidang. Sesungguhnya, Malaysia dan rakyatnya telah meraih kejayaan serta menempa pelbagai sejarah pencapaian luar biasa dalam semua bidang setanding dengan bangsa maju lain. Rumusannya, pencapaian yang menakjubkan itu turut mengabsahkan bahawa rakyat Malaysia mampu membawa negara ini bersaing dalam kampung global ini sekaligus menerajui bidang tertentu di pasaran dunia dan meletakkan nama baik Malaysia di podium kecemerlangan.

Pencapaian SPANCO dalam membangunkan satu set pengurusan fleet kenderaan Kerajaan Malaysia adalah antara pencapaian kelas dunia yang membanggakan semua.

Lain-lain Artikel

Berkaitan

spot_img

Terkini

Program Audit Pemeriksaan Kenderaan, Naziran Serta Taklimat Pengurusan Kenderaan Konsesi SPANCO

21 November 2023 – Program Audit Pemeriksaan Kenderaan, Naziran serta Taklimat Pengurusan Kenderaan Konsesi SPANCO 2023 anjuran Kementerian Kewangan kali ini telah diadakan di...

Jemputan Taklimat Kenderaan dan Motosikal Electric Vehicle (EV)

16 November 2023 – Pihak SPANCO telah menerima jemputan daripada Mesyuarat Pegawai Pengangkutan (PT) dan Ketua Cawangan (KC) Bahagian Pengangkutan, Jabatan Logistik dan Teknologi...

Tanda Kerosakan Pengesan Laju Kenderaan

Pengesan laju yang juga dikenali sebagai ‘speed sensor’ adalah satu komponen dalam kenderaan yang digunakan untuk mengesan kelajuan kereta. Ia juga memainkan peranan penting...

Keindahan Hujan: 6 Aktiviti Menarik Untuk Dilakukan

Musim hujan membawa keindahan dan keceriaan tersendiri, terutama di Malaysia yang diberkati dengan cuaca hujan sepanjang tahun. Walaupun rancangan kita terganggu akibat hujan berterusan,...

Majlis Penyerahan Kereta Proton X70 Kepada Jabatan Pendaftaran Negara

02 November 2023 – Baru-baru ini, satu majlis penyerahan kereta model Proton X70 1.5 STD telah diadakan diantara pihak SPANCO dan Jabatan Pendaftaran Negara...

Ingin mengikuti berita dan artikel terkini?

Isi maklumat anda dan kami akan terus berhubung dengan anda di masa hadapan. Semudah itu!