3 Oktober 2023 – Bersempena dengan majlis pelancaran Kempen Ayuh Daftar Suri @ PERKESO, pihak SPANCO telah dijemput untuk turut sama hadir bagi memeriahkan aturcara program yang dianjurkan. Kempen yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember ini telah dilancarkan oleh Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri.
Pada majlis berkenaan, En Zulfika Hamidon, Ketua Bahagian Sumber Manusia SPANCO telah dijemput sebagai salah seorang panel bagi Forum Bual Bicara Suri Aspirasi Malaysia MADANI. Selain itu, pihak SPANCO juga turut menyampaikan penajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan tiga orang wakil staf SPANCO telah hadir bagi menerima sijil caruman SKSSR.
Kempen Ayuh Daftar Suri @ PERKESO yang bermula pada 1 Oktober hingga 31 Disember ini adalah sejajar dengan keadilan sosial yang menjadi fokus kerajaan dalam sektor ekonomi penjagaan (Care-Economy).
Program yang dirasmikan oleh Dato’ Seri Dr. Wan Azizah itu turut dihadiri oleh YB Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Hajah Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen Seputeh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.