Ramai yang terkesan akibat banjir yang melanda beberapa negeri pada hujung bulan Disember 2021. Sebahagian besar mangsa banjir terpaksa menanggung kerugian yang dahsyat kerana kerosakan harta benda seperti kereta, rumah dan peralatan serta perkakasan di dalamnya.
Terdapat sebanyak 49 biji kenderaan pelanggan SPANCO yang meliputi pelbagai jenis model iaitu Proton X70, Proton Perdana, Proton Preve, Proton Persona, Honda Civic dan lain-lain turut terjejas akibat banjir dan dihantar ke Pusat Servis untuk melakukan kerja pembaikan.
Bagi mempercepatkan proses pembaikan kenderaan, SPANCO telah menjalinkan kerjasama dengan pihak Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur (ILPKL) selaku rakan strategik dan latihan SPANCO dengan satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Menerusi program ini, pelatih automotif dari Semester 3 telah terlibat untuk menguruskan kenderaan pelanggan yang terjejas akibat banjir.
Seramai 20 orang pelatih Semester 3 ILPKL telah bekerjasama dengan SPANCO dari 27 Disember 2021 hingga 14 Januari 2022 dalam membantu menyenggara kenderaan-kenderaan tersebut.
Seramai 10 orang pelatih telah berkhidmat di Pusat Servis Wilayah Batu Caves dan 10 orang lagi di Pusat Servis Wilayah di Bandar Baru Bangi. Pelatih-pelatih ini telah membantu juru teknikal SPANCO dalam menguruskan dan membaiki semua kenderaan yang terlibat dalam banjir.
SPANCO amat menghargai kerjasama dan bantuan daripada Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur dalam membantu menguruskan kenderaan yang terjejas dengan banjir. Pada masa yang sama, kami mempercayai bahawa pendedahan ini amat berguna kepada pelatih untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang pembaikan dan penyenggaraan kenderaan serta melahirkan pekerja yang berkemahiran kelak.