Perlanggaran belakang kenderaan ketika kenderaan diletakkan di bahu jalan merupakan antara penyumbang kepada kemalangan maut. Antara faktor yang mendorong kepada kemalangan jenis ini adalah penggunaan segi tiga keselamatan yang tidak betul.
‘Segi Tiga Keselamatan’ merupakan alat keselamatan yang digunakan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain bahawa terdapat kenderaan yang mengalami kerosakan di bahu jalan, berhenti untuk penyelenggaraan atau terlibat dalam kemalangan.
Penggunaan alat ini sangat penting terutamanya semasa berada di lebuh raya dan pinggir jalan kerana ia menjadi tanda untuk mengingatkan kenderaan dari arah belakang untuk mengurangkan kelajuan atau menukar lorong pemanduan. Dengan melakukan demikian, pengguna jalan raya lain dapat mengelakkan kemungkinan berlakunya kemalangan sekunder.
Panduan Penggunaan
Alat keselamatan ini biasa didapati dalam kenderaan tapi masih ramai pemilik kenderaan tidak mempunyai pengetahuan yang jelas tentang penggunaannya. Oleh itu, berikut merupakan panduan penggunaan segi tiga keselamatan untuk memudahkan anda apabila berdepan dengan situasi kecemasan kelak.
1. Periksa Kit Kecemasan
Setiap kit kecemasan biasanya disertakan dengan segi tiga keselamatan. Pemandu kenderaan perlu memeriksa kit kecemasan dahulu dan mengeluarkan alat ini apabila mengalami kerosakan kenderaan atau terlibat dalam kemalangan.
2. Sambungkan Kepingan Plastik
Setelah mengeluarkan alat keselamatan ini, pemandu kenderaan perlu membuka dan menyambungkan kepingan plastik untuk membentuk segitiga. Selepas itu, anda boleh buka pendakap untuk mendirikan di atas permukaan jalan raya.
3. Letakkan Di Jarak 45 Meter
Segi tiga keselamatan perlu diletakkan kira-kira 45 meter dari belakang kenderaan yang rosak atau kemalangan. Anda perlu memastikan alatan itu diletakkan di sisi laluan yang sama bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.