Nasi lemak adalah makanan kebangsaan Malaysia yang digemari ramai termasuk pelancong dari luar negara. Keenakan nasi lemak menjadikan ia makanan ruji yang dimakan pada bila-bila masa. Bagi penggemar nasi lemak, disenaraikan antara lokasi enak yang wajib dicuba seperti berikut:
1. Serunai Nasi Lemak
Serunai Nasi Lemak yang terletak di Taman Sea, Petaling Jaya adalah lokasi makanan tradisional kaum Melayu popular baru-baru ini. Uniknya di sini yang menarik ramai penggemar nasi lemak adalah kerana penggunaan beras basmati wangi yang dimasak dalam santan dan daun pandan. Nasi lemaknya dihidangkan bersama sambal, ikan bilis, timun, bawang goreng dan telur.
Terdapat juga pelbagai jenis lauk pauk lain seperti rendang ayam, sotong, udang, kacang, tempeh dan sebagainya. Anda wajib cuba Nasi Lemak Ayam Goreng Berempah yang popular jika kunjungi kedai ini!
2. Poppo Kanteen
Nasi lemak kantin adalah antara makanan kegemaran ramai murid di sekolah dahulu. Jika anda teringin makanan dengan rasa yang sama, kunjungi Poppo Kanteen yang terletak di Bandar Puteri Puchong untuk menjamu selera.
Mengekalkan resipi yang sama, Nasi Lemak Ayam Berempah khas mereka dan Nasi Lemak Kari Ayam adalah antara makanan kegemaran ramai yang mengunjungi kedai ini. Jangan lepaskan peluang untuk mencuba hidangan nostalgia yang lain seperti cendol, roti bakar dengan telur rebus, ayam goreng dan sebagainya.
3. Mali’s Corner
Warga Wanga Maju mesti kenal Mali’s Corner bagi keenakan Nasi Lemak Ayam Goreng mereka yang cukup lazat untuk menjamu selera dengan kawan atau keluarga. Lokasi strategik dan ruang yang selesa juga menjadikan ia ‘port’ lepak dalam kalangan warga Kuala Lumpur.
Selain nasi lemak, terdapat juga makanan lain yang popular iaitu Char Kuey Teow Basah dengan udang besar yang menyebabkan orang ramai sentiasa beratur panjang untuk menikmatinya.
4. Nasi Lemak Burung Hantu
Mengidam nasi lemak pada lewat malam? Kunjungi Nasi Lemak Burung Hantu yang terletak di Taman Tun Dr Ismail untuk menikmati nasi lemak paling lazat. Beroperasi dari pukul 4 petang hingga 3 pagi, anda boleh meluangkan masa dengan insan tersayang sambil menikmati Nasi Lemak Ayam yang baru digoreng, berair dan lembut.
Sambal manis dan pedas kedai ini menjadi buah mulut orang ramai yang menyebabkan ia tempat makanan popular dalam jangka masa pendek. Antara hidangan yang boleh didapati di sini adalah Nasi Lemak Telur Mata, Nasi Lemak Sambal Kerang, Nasi Lemak Rendang Daging, Paru Goreng, Begedil Mini dan sebagainya lagi.
5. Nasi Lemak Angah Sentul
Nasi Lemak Angah Sentul memang terkenal dengan kelazatan dan keasliannya. Meskipun gerainya kecil, namun nasi lemak yang disediakan amat enak di mana ia dihidangkan dalam bungkusan kecil yang rapi menggunakan kertas dan daun pisang seperti nasi lemak kampung.
Sambalnya juga rasa tidak terlalu pedas dan sangat serasi dimakan sekali. Terdapat juga pelbagai lauk-pauk yang lain seperti ayam merah, kerang, paru, daging, sotong dan sebagainya.