Menunggang motosikal pada waktu malam adalah sangat berisiko kerana mempunyai tahap penglihatan yang rendah. Namun, dengan cara pemanduan yang selamat anda boleh menunggang motosikal tanpa membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain. Dengan ini disenaraikan antara tips dan cara selamat yang boleh diikuti seperti berikut:
1. Baju Pantul Cahaya
Pakaian yang betul memainkan peranan utama dalam aspek keselamatan ketika menunggang motosikal pada waktu malam. Pastikan anda memakai pakaian pantul cahaya atau berwarna terang supaya anda boleh dilihat dengan lebih jelas oleh pengguna jalan raya yang lain.
2. Lampu dalam Keadaan Baik
Lampu motosikal perlu berada dalam keadaan baik terutamanya jika anda seorang yang gemar menunggang motosikal pada waktu malam. Lakukan pemeriksaan awal sama ada lampu berfungsi dengan baik dan terang termasuk lampu hadapan, lampu isyarat dan lampu brek. Gantikan mentol baharu jika lampu telah malap dan sentiasa lakukan penyenggaraan agar komponen motosikal berfungsi dengan baik.
3. Menunggang Secara Cermat
Kes kemalangan yang melibatkan motosikal semakin meningkat terutamanya dalam kalangan ‘rider’ makanan. Pemanduan cermat sangat penting bukan sahaja demi menjaga keselamatan anda malah demi keselamatan pengguna jalan raya lain.
Pastikan anda menunggang motosikal dengan mematuhi had laju atau perlahan pada waktu malam agar membolehkan anda untuk memerhatikan keadaan jalan raya dan juga memberikan masa untuk mengelak dari jalan berlubang atau halangan-halangan lain di atas jalan.
4. Sentiasa Berwaspada
Sentiasa berwaspada dengan persekitaran laluan yang anda lalui khususnya kawasan tiada lampu, hutan atau sunyi. Kawasan sebegini mungkin mempunyai jalan berlubang, bonggol, tumpahan minyak, objek dan juga haiwan berkeliaran. Pastikan anda kekal fokus pada jalan dan elakkan penggunaan telefon bimbit agar anda mampu bertindak balas dengan pantas dan selamat jika berlaku sesuatu di luar jangkaan.
5. Memakai Topi Keledar
Penggunaan topi keledar sangat penting untuk menjaga keselamatan anda jika terlibat dalam kemalangan. Ramai penunggang motosikal tidak memakainya pada waktu malam dengan alasan perjalanan dekat atau dianggap tidak penting.
Kecederaan pada bahagian kepala menjadi punca utama yang meragut nyawa penunggang motosikal apabila kemalangan berlaku. Oleh itu, pastikan anda memakai topi keledar untuk keselamatan kepala dan menjaga penglihatan anda.
6. Elakkan Silau
Menunggang di lorong paling kiri biasanya adalah yang terbaik untuk mengelakkan silau dari kereta yang datang dari arah hadapan. Ingatlah bahawa lorong paling kiri juga merupakan tempat kenderaan keluar dari lebuh raya dan jalan yang sibuk. Oleh itu, sentiasa peka dengan kenderaan lain di hadapan atau di belakang anda yang cuba keluar dari lorong untuk mengelakkan kemalangan.