Negeri Sembilan mempunyai pelbagai destinasi percutian menarik bagi seisi keluarga. Bagi pencinta alam dan peminat aktiviti luar, anda harus terokai negeri ini yang pasti memberi pengalaman yang menakjubkan. Kenali antara lokasi ‘viral’ kini yang wajib anda kunjungi seperti berikut:

1. OMG E-sport
OMG E-sport atau lebih dikenali sebagai Oh Media Gaming adalah sebuah studio pemainan ‘gaming’ yang terletak di Pusat Dagang, Seremban. Peminat e-sport wajib kunjungi tempat ini bagi merasai sendiri pengalaman bermain pelbagai jenis konsol dalam suasana selesa seperti berada di rumah sendiri.
Antara konsol yang disediakan adalah Playstation 5, Playstation 4 Pro, Nintendo Switch, Xbox Series X, Racing Simulator, Virtual Reality dan lain-lain. Terdapat juga kafe, Netflix, pelbagai aksesori permainan dan sebagainya yang disediakan bagi pengunjung meluangkan masa dengan gembira.

2. X Park Sendayan
Ingin melakukan aktiviti menarik dan berfaedah pada hujung minggu? Kunjungi X Park Sendayan yang terletak di Bandar Sri Sendayan yang menawarkan pelbagai aktiviti dalaman dan luaran. Tempat ini sesuai dikunjungi oleh kanak-kanak dan orang dewasa kerana terdapat lebih 15 aktiviti yang disediakan untuk pengunjungnya.

Antara aktiviti yang terdapat di sini adalah aquawalk, badminton, archery, ATV, bunge, flying fox, dodgeball, go kart, glamping, golf, kayak dan sebagainya. Lakukan tempahan awal menerusi laman sesawang rasminya bagi mengelakkan kehabisan tiket.

3. D’tempat Country Club
D’tempat Country Club adalah lokasi sesuai untuk meluangkan masa bersama insan tersayang dengan suasana tenang. Terletak di Bandar Sri Sendayan, tempat ini menawarkan pelbagai kemudahan bagi sepanjang penginapan anda di sini seperti gelanggang badminton, tennis, golf, bowling, snooker, kolam renang, spa, gim, tempat makan dan sebagainya lagi.

4. The Parc
The Parc yang terletak di Nilai Impian adalah lokasi rekreasi ‘viral’ di Negeri Sembilan bagi keunikan landskapnya. Dikenali sebagai taman cermin yang dipenuhi cermin estetik yang disusun bagaikan sebuah pagar sesat ‘maze’, tempat ini menjadi lokasi kegemaran ramai bagi mengambil gambar ‘instagrammable’. Terdapat juga taman permainan kanak-kanak dan trek joging yang boleh digunakan oleh pengunjung bagi bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan.

5. Bukit Taisho
Bukit Taisho yang terletak di Bahau adalah tempat hiking menarik dengan pemandangan alam sekeliling yang menakjubkan. Dengan ketinggian lebih kurang 700 meter serta mempunyai jarak lebih kurang 1.7 km (30 minit) untuk sampai ke puncak, tempat ini sangat sesuai bagi mereka yang ingin berjinak-jinak untuk mendaki.
Laluan trek di sini dipenuhi dengan pemandangan kelapa sawit dan tumbuh-tumbuhan lain serta anda dapat menikmati pemandangan menakjubkan di puncak bukit. Pastikan anda rancang perjalanan anda dengan baik supaya dapat sampai di puncak bukit sebelum matahari terbit.