Sushi adalah antara makanan Jepun yang digemari ramai oleh rakyat Malaysia kerana keenakan serta keunikan hidangan ini. Terdapat banyak restoran halal di Lembah Klang yang boleh anda kunjungi khususnya bagi peminat sushi seperti berikut:
1. Nippon Sushi
Teringin makan sushi lazat? Kunjungi Nippon Sushi yang sangat popular bagi penyediaan sushi halal dan ianya mempunyai banyak cawangan di Lembah Klang termasuk di Shah Alam, Kelana Jaya, Ampang, Bandar Baru Bangi, Kajang, Batu Caves, Klang dan lain-lain.
Uniknya di sini adalah mereka menghidangkan makanan menggunakan robot. Antara makanan yang wajib dicuba adalah Chicken Ninniku Cili Padi, Salmon Ebiko, Fire Spider Roll, Cheesy Tori Karaage, Gyoza, Teppanyaki dan sebagainya lagi. Selain Lembah Klang, terdapat juga cawangan lain di Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Putrajaya, Kelantan, Penang dan Kedah.
2. Sushi King
Sushi King adalah antara rangkaian sushi popular di Malaysia dan terkenal dengan penyediaan sushi yang lazat. Ia telah diasaskan oleh usahawan Jepun, Datuk Fumihiko Konishi pada tahun 1995 dan kini, mereka telah berjaya membuka lebih daripada 100 cawangan di seluruh negara.
Sushi King terkenal dengan sajian sushi berkualiti yang terdiri daripada pelbagai masakan seperti Nigiri, Maki, Gunkan, Sashimi dan masakan Jepun yang lain pada harga yang berpatutan. Selain sushi, anda juga boleh memesan hidangan utama daripada menu mereka termasuklah set makan tengah hari dan ramen.
3. Sushi Mastro Nikkei
Sushi Mastro Nikkei yang terletak di Kepong menyediakan sushi dengan resipi Jepun yang digabungkan dengan ramuan Peru. Terdapat pelbagai pilihan sushi unik yang boleh anda dapati di sini. Nikkei Salmon Mango, Ikejime Surtidas, Chawanmushi, Seafood Shirashizushi dan Graham Cake adalah antara makanan yang wajib dicuba.
Semua hidangan yang disediakan menggunakan bahan segar dan sangat premium. Pengunjung dapat menikmati persekitaran tempat makan yang amat selesa serta dihiburkan dengan lagu klasik Sepanyol dan Afrika.
4. Kampachi
Beroperasi di Kuala Lumpur lebih dari 40 tahun, Kampachi adalah rangkaian restoran Jepun terkenal bagi warga ibu kota yang gemar makan sushi.
Menggunakan ikan segar yang diimport dari pasar Tsukiji Tokyo, restoran ini memastikan penyediaan makanan berkualiti tinggi untuk para pelanggannya. Antara makanan yang boleh didapati disini adalah Sashimi O-Toro, Mi Soba buatan tangan, Yakimono, Shokuji dan sebagainya.
5. Restoran Kaito
Nikmati sushi lazat di Restoran Kaito yang disediakan khas oleh Chef Nizam yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun dari Jepun. Ia merupakan restoran pertama di Malaysia yang menggabungkan konsep hidangan Jepun dan Itali.
Terletak di Glo Damansara, anda boleh menikmati pelbagai pilihan sushi terdiri daripada Komusubi Sashimi, Yokuzuna Sashimi, Ikura Sashimi, Take Sushi, Hon Maguro Chutoro Sushi, Ebi Sushi, Sushi Roll dan sebagainya lagi. Anda disyorkan untuk membuat tempahan lebih awal menerusi laman sesawang rasminya dan menikmati pengalaman menjamu selera yang hebat di sini.