Ramai kini mengalami masalah mata kering atas faktor-faktor tertentu. Mata kering adalah satu keadaan di mana berlaku apabila kalenjar air mata tidak menghasilkan cecair yang cukup bagi melembabkan dan menyuburkan mata. Hal ini mengakibatkan kerengsaan dan ketidakselesaan pada mata.
Punca Mata Kering
Mata kering adalah satu masalah biasa yang kronik dialami terutamanya di kalangan orang dewasa yang lebih tua. Namun kini ramai remaja dan kanak-kanak juga mengalami masalah ini yang boleh mengakibatkan gangguan pada permukaan mata dan seterusnya menyebabkan gejala yang kurang selesa serta memberi kesan terhadap kualiti hidup.
Masalah mata kering berlaku atas beberapa faktor salah satunya adalah menatap skrin digital bagi tempoh masa yang panjang. Apabila seseorang melakukan kerja bagi tempoh yang lama akan menyebabkan berlakunya pengurangan kadar mata berkelip, seterusnya meningkatkan risiko seseorang mengalami mata kering.
Selain itu, punca mata kering lain adalah menggunakan komputer dan telefon bimbit dengan lama, bekerja dalam persekitaran berhawa dingin, faktor umur, status kesihatan, ubat-ubatan, masalah struktur dengan kelopak mata dan memakai kanta lekap.
Gejala Mata Kering
Antara gejala mata kering yang perlu anda awasi adalah:
- Mata pedih dan gatal
- Mata terasa berpasir
- Mata berair serta menghasilkan mukus
- Penglihatan kabur
- Mata sensitif terhadap cahaya
- Mata sakit atau tidak selesa

Langkah Bagi Mengatasi Mata Kering
Masalah mata kering tidak boleh disembuhkan sepenuhnya, tetap terdapat beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan gejala mata kering. Antaranya adalah mendapatkan tidur yang mencukupi, minum air secukupnya, berhenti merokok dan menghadkan masa menatap skrin telefon atau komputer.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan ubat titisan mata untuk melembabkan mata. Jika anda membaca atau melakukan sesuatu yang memerlukan tumpuan visual, berikan mata anda rehat secara berkala untuk untuk membantu mengalirkan air mata anda secara merata ke atas mata anda.