Kempen MYJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah dilancarkan pada 24 Ogos 2023 oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jeti Awam Pulau Banding. Kempen ini adalah sebuah inisiatif di bawah KKR yang dicetuskan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam menyuburkan kesedaran tentang akauntabiliti pengguna jalan raya bahawa jalan raya adalah tanggungjawab bersama.
Antara objektif kempen ini adalah mendidik pengguna melalui program advokasi tentang jenis penyenggaraan jalan raya sedia ada, memudahcara pengguna membuat aduan melalui aplikasi MYJalan sebagai aduan setempat dan penambahbaikan sistem pemantauan penyenggaraan jalan bagi mengatasi antara isu kritikan yang sering dihadapi oleh pengguna iaitu jalan rosak atau jalan berlubang.
Aplikasi MYJalan yang merupakan platform aduan setempat menerima semua jenis aduan jalan raya yang diselenggara KKR selaras prinsip ‘No Wrong Door Policy‘ atau dasar menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya, lampu jalan, perabot jalan dan lampu isyarat dapat dibaik pulih. Pihak kementerian juga akan menyelenggara infrastruktur jalan seperti papan tanda, penghadang jalan, garisan cat pudar, longkang tersumbat dan masalah berkaitan pokok.
Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, aplikasi ini boleh digunakan untuk menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya dan kemudahan lain termasuk lampu jalan dan lampu isyarat dapat dibaik pulih.
Satu lagi aspek penting Kempen MYJalan ini adalah penumpuan terhadap penambahbaikan sistem pemantauan penyenggaraan jalan ke atas semua syarikat konsesi diberi amanah dan tanggungjawab kontrak menyenggara. Setiap ringgit diperuntukkan kerajaan harus dijelmakan dengan hasil yang mematuhi spesifikasi dan kualiti penyenggaraan demi keselamatan serta keselesaan pengguna.
Oleh itu, marilah kita menjadi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab dan bersama membantu pihak kerajaan dalam melaporkan mengenai kerosakan jalan raya. Hal ini bukan sahaja cepatkan proses pembaikan, malah dapat menjaga keselamatan pengguna jalan raya.