Ingin melakukan aktiviti menarik bersama rakan dan keluarga pada hujung minggu? Kunjungi trek go-kart yang menarik di Lembah Klang:

- MyKart Raceway
MyKart Raceway yang terletak di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya adalah kereta go-kart pertama yang menggunakan elektrik sepenuhnya di Malaysia. Ia mempunyai trek maksimum sejauh 600 meter dan terdapat pelbagai jenis sudut pusingan yang mencabar.

Antara peringkat go-kart yang terdapat di sini adalah advance kart (600m), junior kart (260m), double kart (260m) dan mini kart (105m). Anda boleh melakukan tempahan awal dengan menghantar mesej ke nombor Whatsapp rasmi atau terus walk-in sahaja ke tempat ini.

- Lalaspeed E-Kart Raceway
Sekiranya anda ingin menikmati keseronokan go-kart bersama anak-anak, kunjungilah Lalaspeed E-Kart Raceway yang terletak di Level 5 Lalaport, Bukit Bintang. Terletak di bahagian aras bumbung kompleks membeli belah popular, aktiviti go-kart di sini akan memberikan anda pengalaman memandu dengan pemandangan indah pencakar langit sekitar Kuala Lumpur.

Tempat ini beroperasi bermula pada jam 11.30 pagi hingga 10.00 malam dengan menawarkan aktiviti pada harga berpatutan.

- City Karting
City Karting adalah trek go-kart pertama di Malaysia yang menawarkan tiga jenis go-kart iaitu Double Seater, Regular Kart dan 125cc Kart. Dibuka sejak 1997, City Karting yang terletak di Stadium Seksyen 13, Shah Alam ini beroperasi pada jam 10.00 pagi hingga 7.00 malam.

Bagi mereka yang berpengalaman dengan aktiviti sebegini, anda boleh memilih pakej 125cc Kart dengan syarat mempunyai kad ahli. Harga masuk adalah antara RM40 hingga RM60.

- Sepang International Kart Circuit
Sepang International Kart Circuit yang terletak bersebelahan dengan Litar Lumba F1 Sepang adalah salah satu tempat paling popular di Lembah Klang bagi aktiviti go-kart. Selain daripada go-kart yang terdapat di City Karting, ia juga menawarkan kart pro (90kmph).

Anda boleh memilih ‘Pengalaman Pantas’, iaitu sesi 10 minit atau tempah pakej perlumbaan denganmembawa sekumpulan rakan (minimum 10 orang) untuk pertandingan persahabatan. Pakej ini termasuk pengurusan perlumbaan dan ketepatan masa selama kira-kira 45 minit hingga satu jam. Waktu operasi bermula dari 10 pagi hingga 6 petang setiap hari kecuali Isnin.

- Pinnacle Kart
Pinnacle Kart menyediakan go-kart Sodikart RX8 Siri sepanjang 990m yang boleh mencapai kelajuan sehingga 70km/jam. Terletak di Subang Jaya, pusat memandu go-kart ini beroperasi bermula jam 2 petang hingga 10 malam setiap hari kecuali Jumaat yang bermula pada jam 3 petang.

Terdapat dua jenis go-kart iaitu Siri Sodi RX8 (go-kart terkini dengan enjin 270cc) dan Siri Birel (go-kart terdahulu dengan enjin 200cc) yang boleh anda pilih di sini.