Sabah adalah sebuah negeri yang terkenal dengan keindahan Gunung Kinabalu. Namun selain itu, Sabah juga menawarkan keunikannya tersendiri dengan pulau dan pantai kebiruan yang menawan serta variasi makanan etnik. Makanan di Sabah menjadi tarikan pelancong kerana keenakan yang tersendiri. Berikut disenaraikan antara makanan unik di Sabah yang wajib anda cuba sekiranya mengunjungi negeri di bawah bayu itu:

1. Barobbo
Barobbo merupakan salah satu makanan tradisional suku kaum Bugis yang terkenal di Sabah terutamanya di daerah Sandakan dan Tawau. Ia adalah sejenis bubur nasi jagung yang biasanya dimasak bersama jagung dan pulut sebagai bahan utama.
Barabbo biasanya dimasak pada hari cuti hujung minggu ketika ahli keluarga berkumpul sebagai tanda mengeratkan hubungan silaturahim. Makanan ini juga selalunya dimasak ketika bulan puasa atau puasa sunat untuk hidangan selepas berbuka. Pastikan anda tidak lupa menikmati makanan lazat ini semasa melawat Sabah nanti.

2. Latok
Salah satu makanan Sabah yang telah tular sejak kebelakangan ini adalah Latok. Nama makanan ini pun cukup untuk menarik perhatian ramai. Latok merupakan sejenis rumpai laut dan ia adalah makanan tradisional bagi kaum Bajau. Ia juga dikenali sebagai anggur laut kerana menyerupai bentuk buah anggur.
Latok biasanya enak dimakan mentah bersama perahan limau kasturi dan cili atau dibuat ulaman. Rasa masam manis makanan ini akan meningkatkan selera makan anda.
3. Burasak
Burasak adalah makanan tradisional kaum Bugis yang menjadi juadah wajib orang Melayu pada perayaan Aidilfitri. Burasak atau lebih dikenali sebagai buras merupakan sejenis makanan berasaskan beras yang biasanya dihidangkan dengan ayam masak lengkuas atau ‘likku’ dalam bahasa Bugis.
Ia dimasak dengan beras yang dikukus menggunakan santan, yang kemudiannya diletakkan di atas daun pisang muda dan dibungkus empat lapisan sebelum direbus. Rasa lemak makanan ini pasti membuatkan anda ketagih untuk mencubanya lagi.

4. Tuhau
Tuhau merupakan makanan tradisi suku kaum Kadazan-Dusun yang dibuat dengan halia liar berasal dari Tambunan, Keningau dan Ranau di pedalaman Sabah. Ia biasanya dibuat kerabu, jeruk, sambal, serunding dan sebagainya. Makanan ini mempunyai rasa yang unik dan sedap dimakan dengan nasi.

5. Bosou
Bosou yang juga dikenali sebagai Tonsom merupakan salah satu makanan tradisional istimewa bagi suku kaum Kadazan-Dusun. Ia adalah sejenis hidangan seperti perkasam atau ‘jeruk’ yang dihasilkan dari ikan Kepayang atau daging mentah. Hidangan ini kemudian akan digaul bersama-sama dengan nasi putih, garam, dan buah. Campuran ini kemudiannya akan diperam di dalam bekas dan ditutup rapat selama seminggu atau sehingga betul-betul telah masak sebelum boleh dimakan.