Makanan Thai adalah salah satu hidangan yang paling unik dan digemari oleh orang ramai terutamanya orang Malaysia. Terdapat banyak kedai makanan Thai di Malaysia yang memudahkan anda menikmati juadah negara jiran ini pada bila-bila masa.
Selain Tom Yam, terdapat banyak jenis makanan popular dari negara gajah putih ini telah menambat tekak rakyat Malaysia. Dengan ini kenali antara makanan Thai popular seperti berikut:

1. Pad Kra Phaw
Jika anda teringin makan makanan pedas selain Tom Yam, anda perlu cuba Pad Kra Phaw iaitu satu makanan ringkas tetapi lazat dimakan kerana ia dihidangkan dengan nasi putih, telur mata dan daging ayam yang dicincang bersama daun selasih.
Rasa pedas dan secukup rasa hidangan ini menjadi makanan rutin negara Thailand dan ia sangat mudah didapati di kedai makanan Malaysia. Pastikan anda cuba hidangan ini jika menjamu selera di restoran Thai nanti.
2. Pad Thai
Pad Thai adalah makanan khas Thailand yang menyandang nama negaranya sebagai nama hidangan. Makanan ala kuey tieow ini dimasak kuey teow bersaiz kecil bersama udang, telur, daun kucai dan diperah sedikit limau nipis diatasnya.
Ia turut dilengkapi dengan daging lembu ataupun makanan laut lain bagi menambahkan selera makan.

3. Pramek Jang
Pramek Jang adalah antara makanan jalanan yang popular di negara ini dan enak dimakan pada bila-bila masa. Sotong bakar dihidangkan seperti sate dengan sambal pedas sebagai sos pencicah.
Kekenyalan isi sotong ini pasti membuatkan anda terliur ditambah pula dengan rasa pedas daripada sambalnya.

4. Som Tam
Som Tam adalah hidangan sampingan yang penuh dengan khasiat dan digemari ramai termasuk rakyat Malaysia. Ia juga dikenali sebagai Green Papaya Salad kerana mempunyai bahan utama seperti betik muda, tomato, cili, kacang tanah, kacang panjang, limau dan sebagainya.
Makanan ini mempunyai pelbagai rasa seperti pedas, masam dan manis yang enak dimakan begitu sahaja atau nikmatinya bersama nasi putih atau pulut.

5. Tom Kah Khai
Berbeza daripada Tom Yam, Tom Kah Khai adalah sup ikonik Thai yang dimasak menggunakan santan, cili api, lengkuas muda, bawang merah, ayam, dan sebagainya bagi meningkatkan kelazatan sup ini.
Peminat hidangan pedas boleh mencuba makanan ini bersama nasi putih atau meminum supnya begitu sahaja.

6. Khanom Chin Nam Ya
Penggemar laksa tetapi ingin mencuba selera lain daripada makanan tempatan boleh menikmati Khanom Chin Nam Ya. Ia adalah hidangan sama seperti laksa Malaysia tetapi berbeza dari segi masakan dan penggunaan bahan.
Mee putih bersama kuah kari ikan pedas yang dimasak daripada santan memberi hidangan ini kelazatan yang luar biasa.

7. Kao Niew Ma Muang
Kao Niew Ma Muang atau lebih dikenali sebagai pulut mangga adalah pencuci mulut sangat popular di negara jiran ini. Hidangan kegemaran masyarakat Thai ini diperbuat daripada pulut, santan dan mangga sebagai bahan utama.
Pulut mangga telah mendapat sambutan tinggi kerana ia mempunyai rasa manis, lemak dan masin yang sesuai dimakan pada bila-bila masa. Ia juga mudah didapati di kedai makanan biasa serta gerai jalanan pada harga berpatutan.
8. Miang Kham
Makanan signature Thai yang mendapat permintaan tinggi daripada pelancong adalah Miang Kham. Ia merupakan makanan ringan dan pembuka selera yang berasal dari gabungan tradisi negara Thai dan Laos.
Hidangan ini terdiri dari daun kaduk yang dimakan bersama halia, isi kelapa goreng, udang kering, kacang tanah, bawang merah, limau dan cili yang dihiris halus. Kesemua bahan ini akan digulung dalam daun kaduk dan dimakan begitu sahaja bersama sos masam manis.