Kafe biasa membosankan anda? Ingin membaca buku sambil menjamu selera? Terdapat banyak kafe yang berkonsep demikian bagi memberi pelanggan mereka satu pengalaman luar biasa disamping menjamu selera dengan rakan atau keluarganya. Disenaraikan beberapa kafe buku menarik di Lembah Klang untuk anda menikmati makanan sambil membaca buku kegemaran:

1) Little Moments Cafe
Sibuk dengan hiruk-piruk bandar? Inginkan suasana kampung sambil meminum secawan kopi? Little Moments Kafe yang terletak di Cheras merupakan salah satu kafe unik bertemakan kampung zaman dahulu. Menggunakan rumah pemilik di Cheras, kafe ini telah diinovasikan dengan konsep kampung di mana berlatarbelakangkan rumah kayu. Angin daripada kipas lama dan udara segar dari luar sangat menyenangkan pelanggan untuk baca buku sambil makan.

Mereka menyediakan set makanan sarapan pagi seperti Rojak, Taufu Bakar, Cendol, Kopi Vietnam dan sebagainya.

2) Bukku Cafe
Bukku Cafe yang terletak di Bandar Bukit Rajah, Klang merupakan kafe buku yang mempunyai gaya kedai di negara Jepun. Anda dapat merasai aura unik selepas memasuki perkarangan kafe ini yang dihias dengan perabot minimal bertemakan Jepun.

Terdapat pelbagai jenis buku yang terdiri daripada bahasa Inggeris dan bahasa Cina, buku bagi kanak-kanak dan buku Lonely Planet Guide disediakan untuk pelanggan mereka.

Atmosfera kafe ini sangat selesa untuk anda membaca buku sambil menikmati hidangan popular mereka iaitu pastri Salted Egg York dan Green Tea Croissant.

3) Ink Library Cafe
Ingin bersantai sambil nikmati pemandangan alam semula jadi? Ink Library Cafe di Granduer Labs, Puncak Alam berkonsepkan kafe kontainer merupakan tempat paling sesuai bagi anda yang gemar melihat alam sekeliling.

Minum secawan kopi sambil selak buku, majalah, komik dan sebagainya dengan menghirup udara segar bersama rakan atau keluarga anda pada hujung minggu.

4) Pages Book Cafe
Siapa kata tidak boleh makan di pusat sumber? Pages Book Cafe di Damansara merupkan kafe ala pusat sumber yang menyediakan makanan dan buku cerita bagi anda membaca sambil menjamu selera.

Rak buku besar di sekeliling kafe dengan pelbagai jenis buku dari Singapura, London, US dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina telah disediakan bagi pelanggan. Bukan itu sahaja, anda juga boleh membeli buku dengan harga serendah RM5.00 di sini. Nikmati makanan dan minuman seperti pastri, pasta, teh, kopi dan jus buah-buahan segar.

5) Book Barter Cafe
Ingin membaca buku sambil menikmati pemandang menarik? Book Barter Cafe yang terletak di Cyberjaya adalah sebuah kafe yang ditubuhkan dikelilingi tumbuh-tumbuhan hijau yang boleh dilihat menerusi dinding kacanya.

Anda perlu melalui jambatan kecil yang melintasi air untuk memasuki kafe cantik ini.

Selain itu, anda boleh membaca buku kegemaran anda sambil duduk dan menikmati kopi, kek atau pastri yang menyelerakan.

6) Departure Lounge
Pandemik Covid menghadkan perjalanan anda ke luar negara? Jangan risau, anda masih boleh mendapatkan ‘feel’ pergi ke New York, Jepun, China, Korea di Departure Lounge yang terletak di Petaling Jaya.


Uniknya kafe ini kerana para pelanggan dapat membaca majalah berkaitan pelancongan di negara luar sambil menghirup kopi kegemaran dan nikmati hidangan menyelerakan yang berkonsepkan Amerika iaitu Sosej, Telur Goreng, Roti Bakar, Baked Beans dan sebagainya.

7) Me Time Book Cafe
Membaca buku tanpa gangguan adalah kesukaan penggemar buku. Me Time Book Cafe adalah antara kafe unik yang menyediakan tempat khas bagi semua penggemar buku untuk membaca sambil baring dan mempunyai ‘private space’ masing-masing.

Anda boleh baca buku dengan tenang di suasana sunyi. Kafe ini menyediakan buku Jepun seperti komik Manga, novel bahasa Cina dan English. Bagi sesiapa yang mengunjung tempat ini bagi pertama kali, anda hanya perlu membayar RM5 bagi tempoh 2 jam awal dan mendapatkan minuman kopi percuma.

Jangan risau anda boleh baca buku hingga lewat malam kerana kafe ini buka dari 10 pagi hingga 12 malam.

8) Kamilah’s Lifestyle & Book Cafe
Dinding biru dengan perabot antik yang menenangkan fikiran di Kamilah Lifestyle & Book Cafe pasti akan membuatkan anda berasa seperti berada di rumah. Terletak di Subang Jaya, kafe ini menyajikan masakan Malaysia dan Barat dengan pastri enak pada harga yang berpatutan. Terdapat banyak koleksi buku fiksyen hingga bukan fiksyen yang terdiri daripada novel fantasi, misteri hingga humor. Anda juga dapat mengambil gambar ‘Instagrammable’ sambil membaca buku dengan menghirup secawan kopi.

9) BookXcess Tamarind Square
BookXcess adalah salah satu kedai buku popular dalam negara kita. Terdapat banyak cawangan di pelbagai lokasi seperti Damansara, Cyberjaya, Petaling Jaya dan Shah Alam. Perkara unik di BookXcess adalah kafenya yang menyediakan pelbagai makanan enak untuk para pelanggan.

Selain membaca buku kegemaran anda, boleh menikmati hidangan kek dan kopi di kafe mereka.