Elakkan Kegagalan Bateri

Kebanyakan aduan kerosakan yang diterima Pusat Servis berpunca daripada masalah bateri yang gagal berfungsi. Justeru, penjagaannya sekali-kali tidak boleh diabaikan oleh pemandu.

BATERI yang lemah menyebabkan kereta gagal dihidupkan sekaligus rancangan dan pergerakan anda buat hari itu tergendala. Anda mungkin tidak menjangka masalah itu tetapi sebenarnya ia tidak berlaku secara tiba-tiba. Sebaliknya, kuasa bateri yang susut sedikit demi sedikit akan memberikan isyarat sehingga ia gagal berfungsi sepenuhnya.

Untuk itu, ambil tindakan dan elakkan masalah bateri yang mati daripada mengganggu rancangan anda. Ikuti beberapa langkah penyenggaraan dan sentiasa peka keadaan kereta bateri anda.

Senggara bateri anda – penyenggaraan yang sempurna akan memanjangkan hayat bateri. Pakai  cermin mata keselamatan dan lindungi mata anda apabila anda mengendalikan bateri:

Jaga kebersihan bateri. Pastikan bateri, terminal dan kabel penyambung sentiasa dibersihkan menggunakan kertas pasir serta sapu sedikit jeli petroleum pada terminal sebelum mengetatkan nat kabel.

Periksa tahap air. Sekiranya bateri mempunyai penutup sel yang boleh dibuka, periksa tahap air bateri dengan membukanya. Anda juga boleh memeriksa tahap air melalui sisi bateri yang lut cahaya. Tahap elektrolit perlu melepasi sepenuhnya bahagian atas plat setiap sel. Tambahkan air suling untuk meningkatkan paras air bateri dalam setiap sel.

Periksa penunjuk. Bateri bebas senggaraan pula lazimnya tidak bertutup dan mempunyai penunjuk di bahagian atas bateri. Hijau menunjukkan kuasa bateri masih kuat manakala hitam pula lemah. Sekiranya ia menunjukkan tahap yang lemah, dapatkan mekanik atau pengedar bateri untuk memeriksanya.

Caj semula selepas ‘jump-start’. Sekiranya anda menghidupkan bateri yang telah mati melalui ‘jump-start’, pastikan anda mengecas semula sepenuhnya. Ini penting, terutama sekali jika kereta anda telah lama tidak dihidupkan dan dipandu kerana dalam keadaan itu, alternator kereta mungkin tidak dapat mengecas bateri yang telah mati atau terlalu lemah.

Kabel pelompat (jumper cables). Bawa di dalam kereta sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengatasi masalah bateri mati.

Sentiasa pantau keadaan bateri – periksa bateri sebelum anda memulakan perjalanan jauh dan hantar kereta untuk diservis. Minta Pusat Servis untuk menguji bateri dan ganti jika perlu bagi mengelak kegagalan bateri dan anda terkandas di tengah jalan.

Dapatkan mekanik untuk memeriksa bateri sekiranya anda nampak tanda-tanda berikut:

  • Bateri yang dipasang oleh pengilang sudah melebihi tiga atau empat tahun, atau bateri yang digantikan itu sudah hampir tamat tempoh jaminan.
  • Enjin lemah setelah lama tidak dihidupkan, atau ‘crank’ berbunyi lemah ketika anda cuba menghidupkan enjin.
  • Bekas bateri retak, penutup sel pecah atau hilang, atau kecacatan lain. Sentiasa pasangkan bateri dengan kukuh pada kedudukannya supaya ia tidak terbalik atau menggelongsor.

15 Simbol Pada Dashboard Meter Kereta

DASHBOARD kereta adalah ruang rujukan yang sangat penting. Di situ terpapar isyarat mengenai setiap fungsi kereta walaupun ada kereta yang tidak mempunyai semua simbol tersebut. Di bawah disenaraikan 15 simbol standard yang terdapat pada kebanyakan kereta. Ketahui maksudnya apabila simbol-simbol itu menyala.

  • Pintu kereta — Memberitahu anda bahawa salah satu pintu kereta tidak ditutup rapat.
  • Automatic Shift Lock dan Engine Start Indicator — Maksudnya anda perlu menekan brek untuk menghidupkan  enjin ataupun menukar kepada neutral.
  • Brek tangan — Bermakna brek tangan sedang aktif atau belum diturunkan sepenuhnya.
  • Suhu Enjin — Maksudnya, enjin kereta pada tahap terlalu panas. Sila berhentikan kenderaan segera.
  • Tekanan Tayar — Menunjukkan tekanan tayar tidak seimbang dan kemungkinan ada tayar yang kurang angin.
  • Tekanan Minyak — Minyak pada enjin anda kurang ataupun ada masalah pada sistem minyak enjin.
  • Kawalan Cengkaman — Maksudnya cengkaman kawalan tayar kereta tidak berfungsi dengan baik dan boleh membahayakan.
  • Amaran Enjin — Banyak sebab mengapa simbol ini menyala. Mungkin masalah sensor, sistem pendawaian atau yang lebih serius. Justeru jangan ambil mudah!
  • Brek Anti-Kunci — Ada masalah pada sistem ABS dan ia perlu diperiksa.
  • Bateri — Isyarat bateri kereta semakin lemah.
  • Minyak — Ini bermaksud kereta semakin kehabisan minyak. Juga ada simbol anak panah di sebelahnya yang menunjukkan di mana tempat membuka gas kereta.
  • Tali Pinggang — Peringatan supaya memakai tali pinggang.
  • Beg udara — Ada masalah pada beg udara atau mungkin sistem beg udara secara keseluruhan.
  • Lampu Kabus — Ini bermaksud lampu kabus anda terpasang.
  • Air wiper — Maksudnya anda perlu menokok air untuk wiper.

Sebagai pemandu berhemah, anda perlu memberi perhatian kepada setiap satu maksud simbol dan tidak membiarkan ia terus menyala sehingga boleh membawa kepada kerosakan yang lebih serius.

Lain-lain Artikel

Berkaitan

spot_img

Terkini

Tanda Alternator Belt Perlu Diganti Segera

Alternator adalah penjana kuasa yang memastikan bateri kenderaan dicas dan berfungsi menghidupkan komponen elektrik utama kenderaan. Tanpa komponen ini, bateri kenderaan akan cepat habis...

5 Cara Mengelakkan Kemalangan Jalan Raya

Kemalangan jalan raya kian meningkat dan terdapat peningkatan angka kematian berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kesedaran keselamatan dikalangan pengguna jalan raya amat penting bagi membantu mengurangkan...

Amalan Makanan Sahur Sihat

Sahur merupakan santapan pertama di awal pagi sebagai bekalan untuk memastikan badan kita kekal bertenaga sepanjang hari sewaktu berpuasa. Oleh yang demikian, pemilihan makanan...

Tips Hindari Dehidrasi Ketika Cuaca Panas di Bulan Puasa

Tubuh badan kita mengandungi sebanyak 70 peratus air dan mudah mengalami masalah dehidrasi sekiranya kandungan air tidak mencukupi. Perkara ini biasa berlaku terutamanya ketika...

Punca Kenderaan Bergegar Apabila Membrek

Kenderaan bergegar apabila membrek bukan sahaja boleh mengganggu fokus pemanduan, malah menimbulkan keresahan dan kebimbangan mengenai tahap keselamatan kenderaan yang sedang dipandu. Antara punca-punca...

Ingin mengikuti berita dan artikel terkini?

Isi maklumat anda dan kami akan terus berhubung dengan anda di masa hadapan. Semudah itu!