Menjaga kesihatan diri sangat penting bagi menjalini kehidupan bebas penyakit. Pada masa mencari rezeki ramai tidak mempunyai masa untuk melakukan aktiviti senaman. Namun, tahukah anda, berjalan juga merupakan aktiviti riadah yang baik untuk kesihatan anda? Ketahui antara kebaikan berjalan kaki seperti berikut:
1. Mengekalkan Berat Badan Ideal
Berjalan 10,000 langkah setiap hari secara pantas atau berjoging akan membantu membakar kalori yang mencukupi untuk menurunkan berat badan. Mulakan berjalan kaki secara perlahan atau mengikut kemampuan anda dahulu. Kemudian meningkatkan kelajuan berjalan yang akan membantu mengurangkan berat badan dan kekal sihat.
2. Mengurangkan Risiko Penyakit
Berjalan kaki adalah antara senaman mudah untuk dilakukan anda ia membakar kalori dengan cepat jika anda konsisten melakukan aktiviti ini. Pembakaran kalori akan mengurangkan lemak dalam badan yang membantu mengurangkan risiko penyakit. Misalnya mengurangkan penyakit diabetes dengan meningkatkan keupayaan badan untuk memproses gula dengan lebih baik dan melancarkan aliran darah.
3. Mengekalkan Kekuatan Otot
Berjalan dengan mengekalkan postur badan yang betul akan membantu menggalakkan kesihatan tulang, menguatkan otot dan sendi. Berjalan kaki juga dapat memberi manfaat bagi orang yang menghidap penyakit radang sendi dengan menguatkan sendi dan kurangkan kesakitan. Anda digalakkan untuk berjalan 5 hingga 6 kilometer sehari bagi menjaga kesihatan diri.
4. Meningkatkan Kesihatan Jantung
Berjalan kaki selama 30 minit sehari atau lebih, boleh mengurangkan risiko penyakit jantung sehingga 35% dan meningkatkan perlindungan penyakit kardiovaskular. Bagi individu yang menjalani kehidupan yang kurang aktif boleh melakukan aktiviti berjalan khususnya orang dewasa untuk mengurangkan risiko penyakit jantung, kardiovaskular, strok dan menurunkan tekanan darah.
5. Meningkatkan Paras Hormon Endorfin
Berjalan kaki juga akan meningkatkan paras hormon endorfin yang menggalakkan perasaan positif. Ia secara tidak langsung akan mengurangkan stres, membuatkan anda lebih tenang dan membantu anda tidur dengan lebih baik. Aktiviti riadah yang santai ini juga akan membantu anda menjalani kehidupan yang lebih aktif dan bebas daripada stres.