Penggantian komponen kereta sewaktu tiba masanya amat penting bagi memastikan ia berfungsi secara optimum. Pengguna kenderaan perlu sentiasa peka terhadap sebarang perubahan atau kerosakan komponen kereta agar tidak berlaku kerosakan di tengah jalan. Antara salah satu sistem kereta yang perlu diberi perhatian adalah sistem gantungan kereta terutamanya bagi komponen ‘lower arm’ bagi pemanduan yang selamat.
Fungsi
Lengan kawalan bawah atau lebih dikenali sebagai ‘lower arm’ adalah salah satu komponen penting dalam sistem gantungan kereta. Ia berfungsi sebagai pemegang tayar kepada kerangka utama kereta dan ‘bushing’ bagi memastikan tayar sentiasa berada pada kedudukan betul.
Tanda Kerosakan
1. Bunyi Pada Bahagian Tayar
Terdapat bunyi seperti besi berlaga pada bahagian tayar kereta ketika memandu terutamanya jika lalu di jalan tidak rata. Ia adalah tanda ‘lower arm’ mengalami kerosakan sama ada ia longgar atau lama digunakan dan perlu digantikan dengan yang baharu.
2. Stereng Berhala Ke Satu Arah
Stereng berhala ke satu arah sama ada ke kiri atau kanan semasa memandu adalah kerana masalah penjajaran yang disebabkan oleh ‘bushing’ yang haus. Sekiranya anda mendapati kereta menghala ke satu arah sahaja, segera lakukan pemeriksaan di pusat servis bagi mengantikan komponen yang rosak.
3. Gegaran Ketika Memandu
Tanda awal yang boleh dikenal pasti jika ‘lower arm’ kereta mengalami kerosakan adalah apabila merasai gegaran pada stereng ketika memandu. Biasanya gegaran ini akan meningkat apabila anda cuba memecut. Hal ini berlaku kerana mungkin bush dan ball joint pada lower arm longgar.
4. Bunyi Kuat Apabila Membrek
‘Lower arm’ tidak terlibat secara langsung dalam sistem brek, tetapi sebarang ketidakstabilan dalam sistem gantungan dan komponen stereng boleh menyebabkan masalah brek. Apabila anda membrek kereta secara tiba-tiba, bahagian hadapan kereta mungkin terus berayun ke depan dan ke belakang. Lakukan pemeriksaan segera di pusat servis berdekatan agar dapat mengenalpasti punca kerosakan dengan cepat.
5. Tayar Haus
Lakukan pemeriksaan berkala pada keadaan tayar untuk melihat tahap kedalaman bunga tayar. Tayar haus akibat kerosakan ‘lower arm’ yang secara tidak langsung menjejaskan penjajaran roda disebabkan ‘bushing’ haus. Gantikan tayar dan ‘lower arm’ sekiranya terdapat kesan tayar haus bagi mengelakkan berlakunya kerosakan komponen lain yang boleh menjejaskan pemanduan.