Sejak kebelakangan ini tular kes kemalangan yang melibatkan kenderaan berat akibat kemunculan kenderaan ringan di kawasan titik buta. Sikap pemandu yang tidak berhemah menjadi punca berlakunya kemalangan begini. Pemandu perlu mengetahui titik buta kenderaan bagi menjaga keselamatan diri di jalan raya. Disenaraikan berikut beberapa tips elakkan kawasan titik buta seperti berikut:
1. Elakkan Berada di Sebelah Kenderaan Berat
Sebagai pemandu kenderaan ringan, anda digalakkan untuk elak berada di sebelah kenderaan berat. Hal ini kerana titik buta kenderaan berat tidak sama dengan kenderaan ringan dan ia menjadi punca pemandu kenderaan berat tidak dapat melihat kemunculan kereta anda.
2. Penglihatan Jelas Menerusi Cermin Sisi
Cermin sisi memainkan peranan utama untuk mengetahui titik buta kenderaan. Anda perlu nampak pemandu menerusi cermin sisi kerana jika tidak, besar kemungkinan pemandu kenderaan berat tidak boleh melihat kemunculan kereta anda. Ia juga menandakan anda berada dalam zon titik buta kenderaan berat. Oleh itu, pastikan anda boleh melihat pemandu kenderaan berat menerusi cermin sisi bagi mengelakkan berada pada titik butanya.
3. Awasi Lampu Isyarat
Penggunaan lampu isyarat ketika ingin menukar arah semasa memandu memainkan peranan penting. Pemandu perlu perhatikan lampu isyarat kenderaan di hadapan untuk mengetahui gerak-gerinya terutamnya bagi kenderaan berat. Sentiasa peka dengan sebarang perubahan lampu isyarat lori atau bas kerana pemandangan hadapan terhalang apabila memandu di belakang kenderaan berat.
4. Jangan Memotong di Sebelah Kiri
Elakkan memotong di sebelah kiri kerana bahagian sisi kiri merupakan antara kawasan titik buta yang tinggi peratusnya. Oleh itu, memandu atau berada di kawasan ini adalah sangat merbahaya. Jika anda ingin memotong, pastikan anda tidak berada terlalu lama di sisi kenderaan berat.
5. Jaga Jarak
Penting untuk anda kekalkan jarak selamat antara sesebuah kenderaan terutamanya kenderaan berat seperti lori, bas, treler dan sebagainya. Hal ini kerana pemandu kenderaan berat tidak dapat melihat cermin pandang belakang dan bergantung sepenuhnya kepada cermin sisi. Oleh itu, pastikan anda sentiasa peka dengan jarak kenderaan yang selamat dan elakkan mengekori terlalu rapat di belakang kenderaan berat. Ia juga penting bagi mengelakkan berada dalam kawasan titik buta mereka.