Penyakit bawaan air dan makanan atau ‘food and water-borne disease’ adalah penyakit berpunca daripada jangkitan kuman yang terdapat dalam makanan dan minuman tercemar. Penyakit ini menjangkiti seseorang akibat kuman seperti bakteria, virus dan parasit dalam makanan atau minuman.
Oleh itu, penjagaan makanan dan minuman yang bersih sangat penting untuk mengelakkan penyakit ini. Bagi meningkatkan kesedaran tentang penyakit ini, disenaraikan beberapa panduan yang perlu diamalkan bagi menjaga kesihatan anda seperti berikut:
Jenis-Jenis Penyakit Bawaan Air dan Makanan yang Kerap Menjangkiti
• Demam Kepialu
• Taun
• Hepatitis A
• Disenteri
• Keracunan makanan
Cara Jangkitan Penyakit
Penyakit ini boleh tersebar apabila seseorang individu terdedah secara langsung atau termakan dan terminum daripada sumber makanan dan minuman yang sudah tercemar dengan najis haiwan serta persekitaran kotor, terutamanya apabila terdapat kehadiran lalat, lipas dan tikus.
Selain itu, penyakit ini juga boleh tersebar ketika menyediakan makanan sekiranya tidak menjaga kebersihan diri dengan baik seperti tidak membasuh tangan dengan sabun sebelum menyediakan makanan.
Gejala
Antara gejala penyakit bawaan air dan makanan adalah:
• Cirit-birit
• Muntah
• Demam
• Sakit perut
Langkah Pencegahan
Pencegahan boleh dilakukan jika anda mengawasi pengambilan makanan dan minuman seperti:
• Minum air yang dimasak dengan sempurna.
• Makan makanan yang baru dimasak dan masih panas. Elakkan makanan yang terdedah dan mentah.
• Kupas kulit buah-buahan sebelum dimakan.
• Bersihkan botol susu dan bekas makanan bayi.
• Gunakan air yang bersih ketika mencuci sayur-sayuran, buah-buahan, bahan mentah dan alat-alat makanan.
• Sentiasa menutup semua makanan minuman daripada terdedah.
• Bersihkan kawasan sekeliling rumah dan hapuskan tempat pembiakan lalat, lipas atau tikus
• Basuh tangan dengan bersih sebelum menyediakan atau menghidangkan makanan dan selepas ke tandas.
• Gunakan tandas yang bersih dan selamat.