Ramai kini gemar untuk mengunjungi ‘spot’ makanan ‘viral’ bersama keluarga atau rakan-rakan sebagai tempat lepak atau bagi meluangkan masa berkualiti. Disenaraikan beberapa lokasi makanan ‘viral’ di sekitar Lembah Klang yang boleh anda kunjungi seperti berikut:
1. Mean Mince
Ada sesiapa pernah makan burger goreng? Jika belum, anda mesti cuba burger di Mean Mince yang terletak di Mutiara Damansara kerana mereka menawarkan hidangan burger yang lazat. Kafe bertemakan Amerika dengan keunikan hiasan dalaman yang minimal dan klasik juga menarik minat pelanggan untuk mengunjungi Mean Mince dan makan dalam suasana tenang.
Selain burger, tempat ini juga terkenal dengan piza yang mempunyai taburan keju yang melimpah hingga boleh ditarik sepanjang 2 meter. Chicago Style Deep Fish Pizza ini dihasilkan bersama kerak piza tebal dengan sos tomato, sosej bebola daging pedas buatan sendiri dan limpahan keju yang menghasilkan sensasi lebih enak dalam setiap gigitan.
2. Nasi Lemak Krabster
Nasi Lemak Krabster merupakan antara restoran nasi lemak paling terkenal di Rasta Taman Tun Dr. Ismail kerana hidangan nasi lemak ‘viral’ bersama ‘lobster’ saiz besar. Ia dihidangkan dengan nasi lemak basmati yang telah dikukus bersama sambal buatan sendiri yang sangat padu, kacang, telur, ikan bilis dan timun. Sambal nasi lemak restoran ini merupakan resepi asli yang digunakan sejak tiga puluh tahun lalu dan memang sedap sehingga pelanggan gemar mengambil sambal tambah.
Selain itu, terdapat juga nasi lemak dengan lauk lain seperti udang galah, sotong, ikan siakap, ketam, udang harimau dan sebagainya. Hidangan sampingan seperti bubur kacang hitam, jagung, keropok lekor Terengganu dan lain-lain juga boleh didapati di sini.
3. Rollney
Siapa pernah makan ais krim emas? Ya, ais krim bersalut emas! Rollney di Sunway Pyramid mempunyai ais krim baru dengan topping emas 24K. Terdapat dua perisa yang boleh anda pilih iaitu perisa vanila atau coklat yang diliputi dengan emas bersinar bersama ‘chimney cake’.
Selain itu, terdapat juga pelbagai topping ais krim mewah seperti KitKat, biskut biscoff Lotus, brownie, kacang badam dan lain-lain boleh didapati di sini. Jangan lupa mencuba ais krim lazat ini jika anda kunjungi Sunway Pyramid nanti!
4. Lain Hati
Nasi lemak adalah hidangan tradisional Malaysia yang menjadi kegemaran semua orang. Lain Hati pula telah menginovasikan hidangan ini kepada sandwic ayam nasi lemak yang telah menjadi rebutan pelanggan. Terletak di Setapak sandwich ayam nasi lemak ini diisi dengan ayam goreng, telur rebus, timun segar dan sambal buatan sendiri yang lazat.
Terdapat juga sandwic ayam percik, aloha chicken, salted egg, sambal udang, spicy tuna, lasagna, donut, pelbagai perisa kopi dan sebagainya boleh dibeli di sini.
5. Koffie Craft
Inginkan makanan Belanda? Koffie Craft yang terletak di Jalan Kerinchi Bangsar South City menghidangkan makanan Belanda yang popular seperti Holland Bitterballen, Butter Chicken Dutch Baby, Salad Salmon Salai dan sebagainya. Makanan paling laris di sini adalah Holland Bitterballen iaitu burger charcoal yang dihidangkan bersama wedges, salad, dua jenis sos dan bebola keju.
Selain makanan utama ini, ia juga terkenal dengan pencuci mulutnya iaitu A Taste Sensation. Waffle ini dihidangkan bersama ais krim, krim putar dan tiga jenis buah-buahan. Kafe berkonsepkan minimal dengan tema Belanda ini mempunyai reka bentuk dan hiasan sekeliling yang menggambarkan negara tersebut.