Kadar kemalangan jalan raya yang semakin meningkat setiap hari boleh dikurangkan sekiranya pemandu sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan berhati-hati di jalan raya. Disenaraikan beberapa faktor yang boleh menjadi punca berlakunya kemalangan:
1. Kenderaan
Kegagalan fungsi komponen kenderaan merupakan antara faktor yang mempengaruhi berlakunya kemalangan. Penyenggaraan asas yang wajib dilakukan secara berkala perlu dipatuhi oleh pemandu kenderaan untuk memastikan komponen kereta sentiasa berada pada tahap yang optimum.
Kecuaian melakukan penyenggaraan boleh menyebabkan kenderaan rosak secara tiba-tiba. Misalnya, brek kenderaan yang tidak berfungsi dengan baik akan menyebabkan pemandu sukar mengawal kenderaan ketika saat-saat kecemasan. Oleh itu, pemeriksaan dan penyenggaraan berkala perlu dilakukan mengikut jadual bagi memastikan pemanduan yang selamat.
2. Pemandu
Sikap pemandu sangat penting untuk menjamin pemanduan yang selamat di jalan raya. Pemandu yang bersikap mementingkan diri, tidak sabar ketika berada di jalan raya, memandu sambil menggunakan telefon bimbit, melanggar lampu isyarat, memandu dalam keadaan mabuk, menukar lorong tanpa isyarat, memandu dengan laju, berbahaya serta melulu adalah antara punca berlakunya kemalangan.
Oleh itu, pematuhan terhadap peraturan jalan raya dan amalan pemanduan berhemah adalah penting untuk memastikan kemalangan dapat dihindarkan.
3. Cuaca
Cuaca buruk boleh mempengaruhi pemanduan kerana akan menganggu penumpuan, pandangan kurang jelas serta jarak selamat memberhentikan kenderaan akan bertambah. Sekiranya cuaca sangat buruk seperti hujan lebat, pemandu dinasihatkan untuk mencari tempat yang selamat untuk berhenti seketika atau memandu secara perlahan untuk mengelakkan kemalangan.
4. Keadaan Jalan
Keadaan struktur jalan raya yang berlubang-lubang, sempit dan tidak rata sudah pasti mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. Jalan raya yang bengkang-bengkok, selekoh tajam akan meningkatkan risiko pemandu yang tidak biasa menggunakan jalan tersebut terbabas dan terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Oleh itu, pemandu kenderaan perlu lebih berhati-hati ketika melalui struktur jalan raya yang tidak memuaskan. Luaskan sudut pemandangan anda demi mengelakkan kemalangan jalan raya.
Setiap pemandu kenderaan perlu sentiasa berhati-hati semasa memandu bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan. Pastikan anda mengamalkan pemanduan berhemah dan mengikuti panduan keselamatan yang telah dikongsikan di atas.