Sejak tercetusnya pandemik pada pertengahan Disember tahun 2019, wabak COVID-19 telah menjadi isu dunia dengan pelbagai varian baharu muncul melalui proses mutasi. Proses evolusi bagi virus SARS-CoV-2 berlaku amat pantas terutamanya bagi varian baharu Omicron yang sedang merebak pantas di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Pertambahan angka jangkitan berpunca varian baharu ini sangat membimbangkan saban hari. Varian Omicron menunjukkan kadar kebolehjangkitan lebih tinggi sebanyak tujuh puluh kali ganda berbanding varian lain serta ia mewujudkan kebimbangan dalam kalangan rakyat kerana varian ini kebal vaksin.
Gejala Omicron
Antara gejala varian Omicron adalah seseorang yang dijangkiti cepat letih, hidung tersumbat, demam, mual, sesak nafas, cirit-birit, sakit tekak dan sakit badan. Jangkitan varian baharu ini telah menjadi isu serius di seluruh dunia dan orang ramai perlu mengambil langkah pencegahan bagi mengawal penularan Omicron dalam komuniti.
Mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak kementerian, menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan sebelum makan, selepas menggunakan tandas, menyentuh permukaan di kedai atau pejabat, memakai pelitup muka berganda dan mengambil vaksin adalah sangat penting bagi mengekang penularan virus ini.
Vaksin Dos Penggalak
Vaksin tidak menghalang anda daripada dijangkiti COVID-19, mahupun menyebarkannya kepada orang lain. Namun, vaksin berkesan untuk mencegah anda daripada mempunyai komplikasi teruk atau kematian akibat COVID-19.
Oleh itu, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, segera daftarkan diri anda untuk program vaksin dos penggalak yang dilakukan oleh pihak kerajaan bagi mengawal penularan virus ini. Ia merupakan satu inisiatif untuk membentuk antibodi dalam badan yang mampu mengurangkan risiko COVID-19 yang lebih teruk terutamanya bagi varian baharu.
Daftarkan ibu bapa dan ahli keluarga anda untuk mengambil vaksin serta merta supaya kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Selain itu, kekal berada di dalam rumah sekiranya anda tidak mempunyai sebarang kerja atau urusan di luar. Jadilah rakyat bertanggungjawab dengan mematuhi arahan kerajaan dan lindungi orang disekeliling anda.