Saban tahun pada musim percutian kita sering dikejutkan dengan berita menyayat hati seperti kejadian lemas di kawasan rekreasi iaitu air terjun, sungai, tasik dan sebagainya. Sejak bermulanya kebenaran merentas negeri, kawasan rekreasi dan ekopelancongan kini kembali menjadi tumpuan ramai untuk meluangkan masa dan bersantai bersama insan tersayang.
Namun, dalam keterujaan untuk bermandi-manda di kawasan rekreasi berkenaan bersama keluarga dan rakan-rakan, ada dalam kalangan kita yang masih alpa terhadap aspek keselamatan yang boleh meragut nyawa.
Baru-baru ini juga terjadi fenomena kepala air di pusat rekreasi Titi Hayun setelah hujan lebat yang menyebabkan arus deras dan limpahan air di kawasan sekitarnya. Selain itu, terdapat juga beberapa kes berlaku di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Batang Kali dan sebagainya yang telah mengancam keselamatan pengunjung. Berapa ramai dalam kalangan kita yang sedar mengenai fenomena ini?
Kepala air bermaksud gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti besar yang mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama. Lazimnya ia sering berlaku kerana tanah yang lemah dibebani dan tepu dengan air, mengalir ke cerun melalui tindak balas graviti apabila hujan lebat.
Fenomena ini sangat berbahaya kerana aliran arus dan air yang kuat ini membawa bersama sampah-sarap seperti daun kering, ranting kayu, kelodak, batu dan sisa batang pokok atau balak yang dibuang di sungai. Aliran air sungai dan arus yang kuat ini akan merempuh apa sahaja yang ada di laluannya termasuk merosakkan harta benda dan boleh menyebabkan seseorang lemas sehingga meragut nyawa.
Tanda-Tanda Berlaku Kepala Air
Pengunjung yang ingin melawat kawasan rekreasi anda perlu sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca di kawasan berkenaan. Pastikan anda memeriksa ramalan cuaca sebelum merancang kunjungan ke kawasan ekopelancongan bersama keluarga anda. Disenaraikan beberapa tanda amaran bagi membantu anda mengenal pasti fenomena kepala air apabila anda berada di kawasan berisiko seperti berikut:
-
- Cuaca gelap di hulu sungai atau puncak bukit yang menandakan hujan di kawasan berkenaan.
- Paras air yang meningkat naik secara tiba-tiba.
- Perubahan warna air yang datang dari hulu sungai kepada kekuning-kuningan.
- Paras air yang meningkat naik secara tiba-tiba.
- Air sungai berbuih dengan jumlah yang banyak di permukaan.
- Bunyi dentuman gerakan batu-batan atau air dari hulu sungai.
- Deras air berubah dengan laju dan bunyi lebih kuat.
- Keadaan langit yang gelap disertai dengan bunyi guruh yang kuat.
Tahap kesedaran masyarakat masih rendah dalam perkara seumpama ini apabila mereka melakukan aktiviti riadah di kawasan rekreasi. Pihak pengurusan di kawasan tersebut juga perlu mengambil inisiatif dalam menjaga keselamatan pengunjung dengan meletakkan papan tanda amaran, siren amaran dan pengawal keselamatan agar dapat menangani masalah di situasi kecemasan.