Sejak diberi kelonggaran untuk merentas negeri ramai kini sibuk merancang percutian hujung tahun mereka bersama keluarga atau rakan-rakan setelah lama berkurung di dalam rumah. Bagi sesiapa yang menginginkan percutian yang tenang dan jauh daripada bandar, anda boleh kunjungi beberapa tempat penginapan ala kampung seperti berikut:
1. Rumah Kebun
Rumah Kebun yang terletak di Kampung Sungai Semungkis, Hulu Langat, Selangor adalah lokasi ideal bagi percutian bersama keluarga dan rakan-rakan. Tempat penginapan ini dikelilingi bukit bukau dan pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan.
Penggunaan konsep tradisional dan ala kampung bagi rumah inap ini adalah sangat sesuai untuk sesiapa yang menginginkan percutian hujung minggu untuk merehatkan minda dengan tenang daripada kesibukan bandar.
Terdapat sebanyak 4 bilik tidur yang dilengkapi 4 bilik air, 11 tilam dan boleh memuatkan seramai 16 orang bagi sebuah rumah. Pengunjung juga dapat bermandi-manda di sungai yang terletak berhadapan rumah penginapan ini selain di kolam renang yang disediakan.
2. The Dusun
Ingin bercuti di rumah yang mempunyai ciri-ciri moden-tradisional? The Dusun yang terletak di Negeri Sembilan merupakan tempat percutian sesuai untuk anda meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang.
Rumah inap ini menawarkan pemandangan hutan hujan tropika yang cukup indah dan mempunyai suasana hutan yang menenangkan. Para pengunjung dapat menikmati pemandangan gunung-ganang yang diselaputi dengan kabus pagi, menikmati bunyi-bunyi cengkerik dan ungas yang mendamaikan.
Terdapat sebanyak enam jenis rumah penginapan dengan kelebihan tersendiri yang boleh dipilih oleh pengunjug iaitu Lanai House, Berembun House, Perling House, Tembusu House, Emas House, Tapir House. Anda juga dapat melakukan aktiviti seperti ‘jungle trekking’, bermandi-manda di kawasan air terjun atau kolam renang, melawat ‘deer park’ dan ‘ostrich farm’ yang terletak berdekatan dengan tempat ini. Memang seronok!
3. Homestay Limastiga
Homestay Limastiga yang terletak di Kampung Umbai Melaka adalah lokasi sesuai untuk anda menyambut hari istimewa seperti Hari Keluarga, Hari Jadi, ‘Bachelorette Party’ dan sebagainya bersama keluarga atau rakan.
Limastiga mempunyai 3 villa besar yang terdiri daripada Limas Suites Villa, Limastiga Villa dan Limastiga Villa+ yang dikelilingi dengan pokok-pokok dan pemandangan hijau yang menenangkan mata memandang. Kesemua villa ini mampu memuatkan seramai 14 hingga 30 orang tetamu. Terdapat sebanyak 5 hingga 8 bilik berserta kolam renang peribadi di setiap villa agar pengunjung dapat menikmati percutian yang selesa dan tenang.
Segala kelengkapan memasak dan BBQ, bilik karaoke, dapur memasak, WiFi percuma dan banyak lagi disediakan bagi memudahkan penginapan para pengunjung.
4. Rumah Mak Embun
Melaka adalah bandar bersejarah yang ramai gemar untuk melakukan pelancongan di sini. Percutian anda akan menjadi lebih menarik dengan Rumah Mak Embun yang terletak di Kampung Bukit Larang. Ia merupakan rumah pusaka yang hampir roboh, namun telah dibangunkan semula dan dijaga rapi oleh anggota keluarga arwah Mak Embun.
Terdapat sebanyak tiga jenis penginapan yang disediakan oleh mereka iaitu Rumah Induk, Chalet dan Rumah pokok. Ketiga-tiga tempat ini mempunyai keunikan tersendiri yang menawarkan kolam renang khas bagi tetamunya. Rumah ini berupaya menampung pengunjung sehingga 40 orang pada satu-satu masa dan sangat sesuai untuk melakukan aktiviti bersama keluarga besar.
5. Padi Box
Pernahkah anda teringin menikmati pemandangan sawah padi yang terbentang luas? Padi Box yang terletak di Sekinchan adalah tempat penginapan yang memberi pemandangan indah begini. Ia juga merupakan lokasi sesuai bagi anda membawa kanak-kanak terutamanya yang tinggal di bandar untuk melihat suasana sawah padi.
Berkonsepkan kontera berwarni-warni yang unik, penginapan di Padi Box sangat selesa dilengkapi dengan katil, sofa dan semua kemudahan asas. Terdapat beberapa jenis bilik yang ditawarkan seperti bilik untuk 2 hingga 6 orang, bilik dengan balkoni, bilik keluarga dengan pemandangan cermin dan sebagainya berdasarkan keselesaan pengunjung.
Anda juga dapat melakukan aktiviti seperti melawat sky mirror, berbasikal sambil menikmati pemandangan hijau sawah padi, ‘fireflies’ dan ‘eagle feeding’, kelas sabun buatan tangan dan sebagainya di sini. Selain itu, kemudahan seperti WiFi, kafe, penghawa dingin, televisyen, tempat letak kenderaan dan sebagainya turut disediakan.