Mengekori sesebuah kenderaan secara terlalu rapat boleh mengundang bahaya yang mengakibatkan kemalangan.
Terdapat dua jenis pemandu yang biasanya mempunyai tabiat pemanduan seperti ini iaitu kumpulan pertama adalah pemandu yang tidak sedar mereka sebenarnya telah berbuat demikian dan kumpulan kedua ialah pemandu yang sedang mencuba untuk memotong kenderaan di hadapan mereka.
Bagi kumpulan pertama, mereka harus berwaspada dan menyedari keadaan jalan raya di mana mereka memandu. Jika mereka memandu secara lalai, lambat laun mereka boleh berlanggar dengan kenderaan di hadapan.
Sementara itu, golongan pemandu yang cuba memotong kenderaan lain pula sering menghadapi dengan masalah kenderaan di hadapannya yang dipandu secara perlahan. Terdapat sesetengah pemandu yang tidak prihatin dan memandu di lorong kanan pada kelajuan yang perlahan sehingga mengganggu arus lalu lintas. Justeru pendidikan dan pelaksanaan undang-undang diperlukan bagi mereka yang mengekori terlalu rapat dan juga mereka yang memandu pada lorong yang tidak sesuai dengan kelajuan kereta mereka.
Bagi mengelakkan situasi ini, para pemandu seharusnya mengekalkan jarak selama dua saat di antara kenderaan yang mereka pandu dengan kenderaan di hadapan. Apabila memandu dalam cuaca buruk seperti waktu hujan, jarak ini perlu dipanjangkan lagi kepada empat saat kerana keadaan jalan basah serta licin. Peraturan empat saat akan mengelakkan perlanggaran dengan kereta di hadapan.
Amalkan Peraturan Dua Saat
Cara mudah menentukan jarak yang sesuai di antara kenderaan adalah dengan mengamalkan peraturan dua saat.
•Gunakan tanda statik yang senang dilihat di jalan raya seperti tiang lampu, papan tanda atau pokok.
•Selepas kenderaan di hadapan anda melepasi tanda itu, bahagian hadapan kereta anda sepatutnya sampai ke tanda yang sama dalam masa tidak kurang daripada dua saat atau lebih.
•Tempoh dua saat boleh dianggar dengan menghitung, ‘satu ribu dan satu… satu ribu dan dua…’ Ini mengambil masa lebih kurang dua saat untuk menyebutnya.
•Anda perlu mengekalkan jarak yang lebih jauh dalam cuaca buruk.