Peningkatan mendadak bilangan kes jangkitan baharu ini telah menyebabkan negara kita memasuki gelombang ketiga penularan COVID-19. Berdasarkan ramalan pakar perubatan baru-baru ini, virus tersebut tidak dapat dihapuskan pada masa terdekat. Oleh itu, orang ramai perlu sedar, memahami dan bekerjasama untuk memutuskan rantaian penularan wabak ini dengan menjaga diri dan orang sekelilingnya. Sebagai langkah menjalani hidup alaf norma baharu, orang ramai perlu patuhi pesanan pihak kerajaan dengan mengamalkan 3W dan elakkan 3S atau 3C.
Amalkan 3W
Bagi membendung jangkitan wabak COVID-19, orang ramai telah dinasihati untuk mengamalkan 3W yang membawa maksud ‘Wash’, ‘Wear’ dan ‘Warn’. Sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap kesihatan diri dan orang sekeliling, anda perlu sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan secara kerap. Ia perlu dilakukan bagi membendung penularan virus yang senang melekat pada tapak tangan dan merebak pada permukaan lain.
Selain itu, amalkan norma baharu dengan memakai pelitup muka apabila anda bergejala atau setiap kali melangkah keluar rumah. Dengan melakukan demikian anda dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 antara satu sama lain terutamanya ketika berada di kawasan sesak. Akhirnya amalkan prinisp ‘Warn’ iaitu memberi amaran. Jangan bersalaman atau bersentuhan, lakukan disinfeksi, amalkan etika batuk atau bersin dengan betul, duduk di rumah dan segera dapatkan rawatan jika anda bergejala.
Elakkan 3S Atau 3C
Apakah itu 3S atau 3C yang kini selalu dipesan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia? Ia merupakan satu amalan yang patut kita elakkan ketika menghadapi pandemik ini. 3S atau 3C yang dinasihat oleh pihak perubatan adalah untuk mengelakkan berada di tempat sesak (crowded place), tempat sempit dan tertutup (confined space) dan sembang dekat-dekat (close conversation).
Tempat sesak, sempit dan tertutup boleh meningkatkan risiko jangkitan virus yang tidak dapat dilihat menerusi mata kasar individu. Anda perlu elakkan diri untuk berada di tempat-tempat berikut demi memutus penyebaran virus tersebut secara mendadak. Kurangkan menghadiri ke majlis orang ramai dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Dahulu aktiviti sembang dekat-dekatan adalah perkara biasa dilakukan oleh orang ramai ketika bercakap dengan individu lain tanpa sebarang ketakutan. Kini, kegiataan ini perlu dielakkan kerana ia boleh meningkatkan risiko jangkitan wabak COVID-19 jika individu berkenaan menghadapi penyakit tersebut. Hal ini kerana, virus ini disebarkan melalui titisan cecair yang terhasil daripada percikan air liur ketika bercakap atau batuk. Anda perlu mengamalkan penjarakan sosial supaya menghindari diri daripada risiko dijangkiti virus ini dan juga amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.
Marilah kita bersama jayakan perang menentang COVID-19.