Peningkatan kes COVID-19 agak membimbangkan dan keadaan ini memerlukan langkah penjagaan oleh rakyat Malaysia untuk melindungi diri dan orang tersayang. Oleh itu, ikuti langkah pencegahan ini bagi menjaga kesihatan awam demi kesejahteraan bersama:
1. Amalkan Kebersihan Peribadi
Kebersihan peribadi adalah langkah teras dalam melawan COVID-19. Pastikan anda kerap mencuci tangan dengan sabun dan air terutama sebelum menyentuh muka. Kebersihan peribadi bukan sahaja melibatkan tindakan harian tetapi juga membentuk tabiat untuk melindungi diri dan orang tersayang.
2. Memakai Pelitup Muka
Penggunaan pelitup muka adalah benteng utama dalam menghalang penularan virus. Pastikan anda memakai pelitup muka dengan betul iaitu menutup mulut dan hidung. Amalkan penggunaan pelitup muka ketika tidak sihat atau berada di tempat awam, menggunakan pengangkutan awam dan kawasan yang sesak. Ia sangat penting untuk anda menjaga diri dan orang lain.
3. Mengambil Vaksin
Sertai usaha kerajaan untuk mendapatkan vaksin apabila giliran anda tiba. Vaksin tidak hanya mengurangkan risiko gejala yang teruk tetapi juga membantu membentuk imuniti serta menghentikan penularan virus dengan lebih berkesan. Bagi individu yang berisiko tinggi, anda disarankan mendapat dos penggalak kerana penurunan imuniti dalam 3 hingga 6 bulan daripada dos terakhir.
4. Amalkan Kaedah TRIIS
Orang ramai digalakkan untuk terus mengamalkan dan memperkukuhkan kawalan kendiri menerusi TRIIS sekiranya bergejala. TRIIS iaitu Test (Uji), Report (Lapor), Isolate (Asing), Inform (Maklum) dan Seek (Mendapatkan rawatan) adalah langkah penting yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan penilaian kendiri COVID-19. Dengan ini, utamakan pematuhan SOP dan amalkan TRIIS dalam rutin harian anda kerana ia membantu kita mengambil tindakan proaktif dan memutuskan rantaian penularan.
5. Menjaga Penjarakan Sosial
Penjarakan sosial tetap menjadi amalan terbaik untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19. Pastikan anda sentiasa menjaga penjarakan fizikal semasa berada di tempat yang sesak iaitu sekurang-kurangnya satu meter dengan individu lain. Amalan ini penting bagi membantu mengelakkan penularan virus melalui percikan air liur dan mengekalkan keselamatan bersama.