Pulau peranginan di Malaysia merupakan antara pulau yang tercantik di dunia dan ia menjadi salah satu tarikan pelancongan. Kini ramai yang bercuti di pulau dan terdapat banyak orang lagi yang merancang mengunjungi pulau untuk menikmati percutiannya. Berikut disenaraikan antara barang keperluan yang perlu disediakan oleh anda ke pulau peranginan:

1. Jaket Keselamatan Pelampung Kanak-Kanak
Jaket keselamatan pelampung kanak-kanak yang sesuai dengan tubuh mereka adalah penting untuk menjamin keselamatan anak ketika melakukan aktiviti air. Melancong ke pulau ketika musim percutian biasanya mempunyai banyak pelancong dan ia boleh menyebabkan jaket keselamatan pelampung kanak-kanak tidak mencukupi atau sesuai bagi mereka.
Bagi mengelakkan risiko pemakaian jaket keselamatan pelampung kanak-kanak yang tidak sesuai, anda digalakkan untuk membeli bagi anak anda.

2. Set ‘Snorkeling’
Jika anda ingin menjimat duit dan menjaga kebersihan, sediakanlah alatan ‘snorkeling’ sebelum ke pulau. Set ‘snorkeling’ sendiri dapat menjamin kebersihan dan lebih selesa untuk digunakan. Anda boleh mendapatkannya di kedai alatan sukan seperti Decathlon, Sports Direct, Empire Sports dan lain-lain.

3. Ubat-Ubatan
Pastikan anda bawa ubat-ubatan yang perlu untuk menjaga kesihatan. Jika anda mabuk laut, pastikan anda membeli ubat yang berpatutan terlebih dahulu. Selain itu, jika anda mempunyai anak kecil, sediakan ubat nyamuk kerana dekat pulau mempunyai banyak nyamuk.
4. Krim Pelindung Matahari
Jangan lupa memakai krim pelindung matahari atau lebih dikenali sebagai ‘sunscreen’ semasa anda seronok menikmati percutian di pulau. Penggunaan krim ini dapat melindungi kulit anda daripada menggelupas dan ‘sunburn’ yang teruk.
5. Kasut Bersesuaian
Pemakaian kasut atau selipar yang sesuai semasa berada di pulau sangat penting untuk mengelakkan kaki anda tercedera. Oleh itu, lindungi kaki anda daripada terluka terutamanya semasa melakukan aktiviti air seperti ‘snorkelling’ atau menyelam dengan memakai ‘aquashoes’.

6. Beg Kalis Air
Beg kalis air sangat penting apabila anda merancang percutian ke pulau. Anda boleh menggunakan beg ini untuk meletakkan barang berharga seperti telefon bimbit, ‘powerbank’, pengecas, kunci bilik, duit dan lain-lain. Penggunaan beg ini penting untuk mengelakkan barang anda basah dan kemudian rosak.