Pemegang enjin atau lebih dikenali sebagai ‘engine mounting’ adalah komponen yang memegang enjin dan kotak gear kereta. Ia juga berfungsi untuk menyerap getaran bagi membataskan impak getaran pada kenderaan. Pengabaian penjagaan komponen ini boleh merosakkan komponen dalaman kereta yang lain. Oleh itu, kenal pasti tanda-tanda awal kerosakan pada ‘engine mounting’ seperti berikut:

1. Enjin Bergegar
Salah satu tanda awal yang boleh dikesan dengan mudah jika ‘engine mounting’ bermasalah adalah kenderaan bergegar. Ia boleh dikenal pasti apabila kereta dalam situasi lahu (idle) seperti berhenti di lampu isyarat, anda akan dapat merasakan stereng bergegar kuat.
Hal ini berlaku kerana ‘engine mounting’ sudah longgar dan perlu digantikan. Pengabaian tanda awal ini akan menyebabkan enjin mengeluarkan bunyi bergetar lebih daripada biasa yang boleh merosakkan enjin dengan cepat. Lakukan pemeriksaan awal di pusat servis bertauliah dan gantikan ‘engine mounting’ yang baharu jika ia rosak.
2. Penjajaran Enjin Yang Tidak Seimbang
‘Engine mounting’ yang longgar atau rosak boleh menyebabkan enjin beralih daripada kedudukan asal. Hal ini akan menyebabkan kerosakan pada komponen lain seperti sistem ekzos, ‘driveshaft’, penjajaran yang tidak seimbang dan lain-lain.
3. Gear Bergegar
‘Engine mounting’ terdiri daripada beberapa bahagian berasingan. Salah satunya terletak berhampiran kotak gear. Jika ‘engine mounting’ tidak berfungsi dengan baik, ia secara langsung akan menjejaskan kotak gear yang boleh dikenalpasti apabila meletakkan tangan atas tombol gear, anda dapat rasa ia bergegar kuat. Lakukan pemeriksaan di pusat servis berdekatan untuk mendapatkan bantuan pembaikan segera.
4. Pemanduan Tidak Selesa
Selain getaran, ‘engine mounting’ yang rosak juga menyebabkan sentakan apabila anda menukar gear kerana transmisi juga dipasang pada unit enjin. Sentakan ini boleh berlaku dengan ketara apabila kereta dipandu pada kelajuan lebih pantas kerana enjin bekerja lebih keras. Jika pemanduan kereta tidak berasa lancar seperti biasa, ia selalunya disebabkan oleh ‘engine mounting’ yang rosak.
5. Bunyi Hentaman
‘Engine mounting’ yang sudah rosak akan menyebabkan enjin kereta bergegar lalu bergerak dan menghentam benda lain di ruangan enjin. Ia biasanya lebih ketara apabila anda menukar gear dari ‘D’ ke ‘R’ dan sebaliknya.