Pulau peranginan sekali lagi menjadi pilihan destinasi pelancong untuk menikmati pemandangan indah alam sekitar sambil menenangkan minda. Ramai memilih pulau dalam negara sebagai destinasi pelancongan terutamanya ketika cuaca panas ini. Dengan ini, disenaraikan antara pulau peranginan yang boleh anda kunjungi semasa cuti seperti berikut:

1. Pulau Tioman
Pulau Tioman yang terletak di Pahang merupakan antara pulau peranginan yang terkenal dalam kalangan pelancong yang pasti dapat memberikan pengalaman menarik kepada pengunjungnya. Ia biasanya dibanjiri ramai pelancong kerana air laut yang jernih, pantai yang bersih dan mempunyai banyak aktiviti yang boleh dilakukan.

‘Snorkeling’, menyelam, berkayak, ATV, bersantai di tepi pantai, ‘island hopping’, menikmati matahari terbit dan terbenam sambil menjamu selera dan sebagainya boleh dilakukan di Pulau Tioman. Pastikan anda membuat tempahan awal bagi penginapan dan lain-lain yang sepatutnya sebelum terlewat!

2. Pulau Rhu Hentian
Jom beriadah bersama kawan-kawan dan keluarga di Pulau Rhu yang terletak berhampiran pelabuhan kecil Kuala Besut, Terengganu. Pulau ini juga mempunyai keindahan alam semula jadi yang menarik dan mengagumkan seperti kepulauan lain di Terengganu. Ia juga mempunyai pantai yang putih bersih serta kebiruan air Laut Cina Selatan yang mengasyikkan pengunjung.
Selain itu, pengunjung juga dapat menikmati permainan dan kegiatan air seperti menyelam untuk melihat spesies laut seperti karang, siput, rumpai air, batu karang dan pelbagai jenis ikan. Pelancong juga boleh melakukan aktiviti lain seperti menerokai hutan, berkhemah, memancing, bermain bola dan sebagainya sepanjang penginapan anda di pulau ini.

3. Pulau Tinggi
Pulau Tinggi yang terletak di Johor adalah sebuah pulau tropika yang sesuai untuk anda melarikan diri daripada kesibukan bandar dan kerja. Pulau ini sangat terkenal dan juga digelar sebagai ‘private island’ yang sesuai untuk percutian menarik bersama insan tersayang.
Ia juga terkenal dengan keindahan alam semula jadi, air berwarna biru serta dikelilingi hutan hujan topika. Pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti di pulau terpencil ini seperti memancing, menyelam, ‘snorkeling’, mendaki gunung Semendu, bermandi-manda di air terjun dan sebagainya.

4. Pulau Mabul
Pulau Mabul yang terletak di Sabah adalah antara pulau yang terkenal di Malaysia kerana keindahan pulaunya. Pulau ini dikelilingi oleh kawasan pantai berpasir dan mempunyai air biru yang jernih.

Antara aktiviti yang boleh anda lakukan apabila anda berkunjung ke Pulau Mabul adalah menyelam skuba, ‘snorkeling’, mengambil kursus PADI, berkayak, melawati perkampungan bajau laut, menyaksikan matahari terbit dan terbenam, ‘island hopping’ dan sebagainya.

5. Pulau Tengah
Pulau Tengah kini menjadi pilihan destinasi ekopelancongan domestik selepas tular di media sosial akibat keunikan resort Batu Batu yang terletak di tebing laut. Dikelilingi oleh alam sekitar yang menakjubkan, resort ini berjaya menarik minat pengunjung kerana menawarkan pemandangan laut yang sangat cantik.

Selain itu, pengunjung juga dapat melakukan aktiviti lain sambil menikmati keindahan alam seperti menyelam, menikmati spa, ‘island trekking’, bermain bola sepak dan bola tampar, berkayak, ‘stand-up paddle-boarding’ dan sebagainya boleh dilakukan di sini.

Tunggu apa lagi? Segera lakukan tempahan untuk melancong ke pulau tercantik ini!