Waktu petang merupakan masa santai bagi ramai orang di samping meluangkannya bersama keluarga sambil menikmati makanan ringan. Disenaraikan beberapa kudapan ringan yang boleh anda nikmati bersama keluarga atau rakan seperti berikut:

1. Pisang Goreng Keju
Pisang goreng keju atau lebih dikenali dengan nama glamor pisang goreng cheese merupakan makanan popular yang gemar dimakan pada waktu petang. Secara tradisinya pisang goreng dimasak menggunakan adunan tepung rangup sahaja. Kini ia telah diinovasikan dengan menambah keju sebagai topping dan menjadi kegemaran ramai. Ia boleh didapati di gerai-gerai tepi jalan serta sesuai dinikmati bersama teh atau kopi.

2. Takoyaki
Takoyaki merupakan makanan ringan berasal dari negara Jepun yang kini menjadi kegemaran rakyat tempatan. Sajian lazat berbentuk bulat ini diperbuat daripada adunan tepung dan telur serta berintikan sotong dan dimasak khas menggunakan kuali takoyaki. Snek ini lebih enak dimakan bersama sos khas yang pekat dan ditambah pula dengan empingan bonito yang lazat dan juga limpahan mayonis yang mampu membangkitkan keenakan rasanya.
Pada asalnya, isi takoyaki hanya dimasak menggunakan sotong sahaja tetapi di Malaysia, ia dipenuhi dengan beberapa inti lain termasuk ayam, udang, ketam, sayur dan sebagainya mengikut kesesuaian dan selera rakyat tempatan.
3. Kebab
Kebab adalah makanan yang berasal dari Timur Tengah dan mudah didapati di kebanyakan tempat. Ia diperbuat daripada roti tortilla, ayam atau daging panggang, sayur-sayuran, sos dan sebagainya. Selain roti tortilla, kebab juga dihidangkan dengan roti bun, roti pita, roti arab dan lain-lain. Ramai gemar menikmati kebab sebagai hidangan makan tengah hari atau minum petang.

4. Apam Balik
Apam balik merupakan antara makanan tradisi berasaskan tepung yang dibakar dalam acuan khas dengan lapisan mentega. Apam balik tradisional biasanya ditabur dengan inti kacang tanah, gula dan jagung tetapi kini ramai peniaga telah menginovasikannya dengan pelbagai perisa lain. Misalnya terdapat perisa coklat, strawberi, vanila, keju, mentega kacang, oreo dan sebagainya.

5. Spring Roll Vietnam
‘Spring Roll’ Vietnam adalah makanan tradisi negara Vietnam yang kini popular di Malaysia. Ia juga dikenali sebagai popia Vietnam kerana bentuknya sama seperti popia tetapi sangat berbeza dari segi rasa, rupa dan bahan yang digunakan. Ia dimasak menggunakan isi udang, sayur-sayuran serta herba segar yang digulung dengan ‘rice paper‘ dan dinikmati bersama sos.