Keunikan Malaysia adalah rakyatnya dapat menyambut pelbagai perayaan sepanjang tahun dalam suasana yang meriah. Kita berpeluang menikmati hidangan tradisi penduduk pelbagai kaum setiap kali waktu perayaan. Marilah kita kenali juadah istimewa dan popular yang dihidangkan setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.

1. Yee Sang
Yee Sang atau lebih dikenali sebagai ‘Yu Sheng’ dalam bahasa Mandarin adalah sejenis makanan tradisi yang wajib ada ketika makan besar bersama keluarga. Hidangan ini merupakan simbolik kepada kemakmuran, ‘tuah’ dan kebahagian menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
Ia biasanya terdiri daripada lobak merah, lobak putih, ikan salmon, kacang tanah, keropok udang, sos plum dan cili kembung. Setiap ahli keluarga perlu sama-sama melambung hidangan itu sambil menyampaikan doa atau kata-kata yang baik. Masyarakat Cina mempercayai bahawa semakin tinggi Yee Sang diangkat ketika digaul, maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun tersebut.

2. Kuih Bakul
Kuih bakul merupakan antara kuih tradisi sambutan Tahun Baharu Cina yang disediakan menggunakan bahan-bahan seperti tepung pulut, gula, buah berangan, kurma dan daun bunga teratai. Kuih ini juga dikenali sebagai ‘Nian Gao’ di mana ‘Nian’ bermaksud kuih manakala ‘Gao’ adalah ‘tinggi’ melambangkan erti ‘tahun demi tahun semakin tinggi kejayaan’.
Secara ringkasnya ia merupakan simbol kepada semakin bertahun tahun semakin tinggi pencapaian dan kejayaan. Hidangan Nian Gao semasa jamuan makan malam adalah cukup penting bagi golongan peniaga kerana hidangan ini menandakan peningkatan dan pengembangan perniagaan mereka.
3. Kuih Kapit Gulung
Kuih Kapit Gulung adalah antara snek kegemaran ramai apabila menjelang Tahun Baharu Cina. Ia didapati dalam dua jenis iaitu kuih kapit biasa dan kuih kapit gulung. Walaupun bentuknya berbeza, kedua-duanya mempunyai tekstur yang ranggup, lazat dan mudah cair bila dimakan.
Kuih kapit hanya dibuat menggunakan tepung, telur, santan dan gula. Keenakan santan dan telur menyebabkan kuih ini popular dalam kalangan orang ramai terutamanya ketika sambutan perayaan.

4. Kuih Bangkit
Kuih Bangkit pada musim perayaan Tahun Baharu Cina biasanya boleh didapati dalam corak ikan emas atau bunga matahari daripada corak bunga kelopak lima. Hal ini kerana terdapat maksud signifikan bagi corak tersebut iaitu bunga matahari bermaksud keuntungan manakala ikan emas melambangkan kemakmuran. Selain rasa kuih ini yang sedap dan cair dalam mulut, ia mudah didapati di pasaran terutamanya ketika musim perayaan.

5. Kuih Ros
Kuih Loyang yang juga dikenali sebagai kuih ros adalah antara kuih tradisi popular yang terdapat pada setiap perayaan istimewa Malaysia termasuk Tahun Baharu Cina. Masyarakat Cina menganggap Kuih Ros mewakili perpaduan dan hubungan keluarga yang erat.
Ia diperbuat daripada tepung beras, santan dan gula. Kuih ini digemari ramai dan menjadi kudapan sesuai apabila menziarahi saudara mara dan sahabat handai. Dengan peralihan zaman, kini kuih ros diinovasikan dengan menambah penambahan perisa pedas dan lain-lain.

6. Rou Gan
Rou Gan atau lebih dikenali sebagai Bakhwa adalah antara makanan popular yang hanya terdapat pada musim perayaan ini. Ia merupakan hirisan daging nipis yang manis. Bahkwa dibuat menggunakan daging ayam yang dihiris kemudian disaluti madu sebelum dipanggang. Anda boleh mendapati juadah ini di banyak gerai terutama apabila hampirnya sambutan Tahun Baharu Cina.

7. Tart Nenas
Tart nenas adalah antara kuih yang sangat terkenal dan diminati oleh setiap golongan. Masyarakat Cina menganggap bahawa menghidangkan kuih tart nanas kepada tetamu boleh membawa tuah kepada seisi keluarga. Tekstur luar yang gebu dan rapuh menyebabkan ia mudah cair dalam mulut dan cepat habis di setiap rumah kerana kelazatannya.
Inti jem nenas yang masam dan manis turut menjadikan kuih ini sangat sedap untuk dimakan begitu sahaja. Ia biasanya dibuat dalam bentuk gulung, bunga, bulat dan lain-lain mengikut inovasi individu.