SPANCO telah menjalinkan kerjasama dengan pengarang destar, Mohd Herin Mansor dalam mengangkat dan memartabatkan warisan Alam Melayu ke persada yang lebih tinggi bagi menghidupkan warisan budaya yang tiada bandingan nilainya menerusi paparan koleksi 12 jenis destar sepanjang tahun 2021. Ia akan dipersembahkan setiap bulan menerusi PRIHATIN dan bagi edisi kesepuluh kali ini, PRIHATIN mengetengahkan koleksi destar Alang Iskandar.
Tanjak adalah sejenis hiasan kepala yang unik digunakan oleh masyarakat Melayu sejak terun-temurun. Ia merupakan salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat bangsa Melayu.
Tanjak Alang Iskandar atau juga dikenali sebagai Menyusur Angin Alang Iskandar merupakan salah satu tanjak yang digunakan bersempena nama Sultan Perak Almarhum Iskandar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah I Rahmatullah sejak tahun 1918 hingga 1938.
Setiap tanjak mempunyai reka bentuk yang unik dan warna tertentu yang membezakannya dari penggunaan sultan dan rakyat biasa. Tanjak ini mempunyai reka bentuk yang sama dengan yang digunakan oleh sultan tetapi berbeza dari segi kelebaran lipatan lima atau enam jari pada teknik lipatan asas.

Berdasarkan nama Menyusur Angin, menyusur membawa maksud berjalan atau belayar mengikuti jalan atau arah tertentu. Secara falsafah ia membawa maksud seseorang yang mengikut arah angin atau sesuatu jalan dan tidak menentang sama sekali.

Keunikan tanjak ini pula terletak pada daun tanjak yang menghala ke bawah. Selain itu, ia menggunakan simpulan yang dipanggil sebagai ‘garam sebuku’ dan dipakai sebelah sedikit daripada telinga kanan. Tanjak ini berpucukkan pula ‘pucuk rebung’ yang tinggi hingga melepasi bahagian ‘layar’ atau ‘kepak’, yakni khas digunakan oleh sultan yang memerintah sahaja.

Berdasarkan Hikayat Melayu, pemakaian destar ini adalah merupakan suatu perkara yang sudah lama diamalkan dalam Alam Melayu dan merupakan salah satu warisan yang penting dan wajar dipertahankan nilai-nilai estetika dan keasliannya.
Oleh itu, semua pihak bertanggungjawab dalam melestarikan seni tanjak Melayu khususnya golongan muda pada masa kini dengan menjaga dan memelihara warisan ini agar ia tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.