Lebih 12 Ribu Kenderaan Pada 98% Boleh Gerak

Ketika memulakan operasi dengan mengambil alih pembekalan dan senggaraan fleet kenderaan Kerajaan Malaysia pada Januari 1994, SPANCO telah menetapkan piawaian prestasi dan servis yang tinggi bagi keseluruhan operasi.

Ini meliputi aspek perolehan kenderaan hingga kepada senggaraan serta latihan pemanduan beretika  dan paling penting sekali, tahap kecemerlangan perkhidmatan fleet konsesi yang tiada tandingan.

Matlamat utama SPANCO ialah memastikan kakitangan kerajaan memperolehi kenderaan yang boleh diharapkan dan disenggarakan dengan baik untuk menjalankan tugas serta menggunakannya dengan penuh keyakinan, tanpa masalah atau kesulitan.

Sejak itu, SPANCO telah memperkenal dan menerapkan sistem teknologi serta pengurusan terkini bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kenderaan kerajaan.

Program Penggantian

Ketika SPANCO mengambil alih pengurusan dan penyenggaraan, usia serta keadaan kereta agak uzur. Kos dan tempoh pusing ganti penyenggaraan yang meningkat, begitu membimbangkan.

Sebelum pengambilalihan, iaitu pada akhir 1993, hanya 29% daripada jumlah kereta Kerajaan Malaysia berusia antara enam hingga sembilan tahun, manakala lebih 35% berusia lebih 10 tahun.

Penyenggaraan kenderaan lama dan rendah prestasi ini menelan belanja besar selain menimbulkan masalah kepada pengguna, seterusnya menjejaskan keupayaan perkhidmatan kakitangan kerajaan.

Menurut laporan pada 1993, jika penswastaan pengurusan kenderaan tidak dilaksanakan maka kos penyenggaraan kenderaan kerajaan diramalkan meningkat 101% berbanding lima tahun sebelumnya (1989-1993). Ini satu kadar peningkatan yang tidak mampu ditampung lagi oleh kerajaan.

Menjelang 1993, bilangan kenderaan yang rosak mencapai 25%. Ini bermakna daripada 3,500 kenderaan ketika itu, lebih 800 tidak dapat digunakan manakala kerja membaiki dan menyenggarakan ada ketikanya mengambil masa sehingga berminggu-minggu lamanya.

Melalui pelaksanaan sistem pengurusan yang profesional dan dedikasi serta pengenalan program penggantian yang tersusun oleh SPANCO, usia purata kenderaan Kerajaan Malaysia kini antara empat hingga lima tahun. Ini menjadikan kenderaan kerajaan lebih berkesan dan diyakini, serta membantu pelbagai jabatan melaksanakan perkhidmatan masing-masing dengan lebih cekap.

Kos Tetap

SPANCO bertanggungjawab menguruskan servis kenderaan pada kos yang tetap dan pada tahap kualiti seperti dipersetujui dalam perjanjian tahap perkhidmatan, untuk sepanjang tempoh sewaan kenderaan.

Jika kos servis mahupun pembaikan mana-mana kenderaan melebihi jumlah ditetapkan maka SPANCO mesti menanggung lebihan kos tersebut. Ini bermakna, apa jua kos tambahan tidak boleh dituntut oleh SPANCO, kecuali jika didapati terdapat kecuaian pihak pengguna.

Konsep pembaikan dan penyenggaraan tanpa had ini memindahkan semua risiko dan ketidaktentuan kos berlebihan daripada kerajaan kepada SPANCO.

Ini bermakna, SPANCO telah melaksanakan satu program penyenggaraan yang menjimatkan kos kerajaan dan mengurangkan nisbah kenderaan rosak kepada kurang 2% pada satu-satu masa. Ini memberikan ketenangan fikiran sepenuhnya kepada pengguna.

Proaktif

Untuk membolehkan semua ini dilakukan, SPANCO telah melaksanakan perancangan dan piawaian perkhidmatan pengurusan kenderaan yang ketat serta proaktif termasuk:

  • Menggantikan kenderaan secara teratur dan mengikut perancangan. Ini bergantung kepada kitaran optimum yang lazimnya setiap empat atau lima tahun sekaligus imbangan optimum antara kos senggaraan dan kecekapan kenderaan dicapai.
  • Program senggaraan cegahan yang sistematik, membolehkan kenderaan berada dalam keadaan sempurna dan layak dipandu apabila 98% fleet kenderaan konsesi yang kini berjumlah lebih 12,000 buah, boleh digerak dan digunakan pada satu-satu masa.
  • Memanfaatkan keupayaan teknologi termasuk menerapkan sistem teknologi maklumat pengurusan fleet (FMIS) selaku tulang belakang operasi, selain menyediakan sistem digital dalam segenap perkhidmatan seperti Aplikasi Mobil SPANCO dan Portal Fleet Online.

Tidak dapat dinafikan, pengambilalihan pengurusan dan operasi fleet kenderaan memberi banyak faedah kepada Kerajaan Malaysia.  Ini termasuk kenderaan yang cekap dan diyakini, kawalan kos yang lebih baik dan mengikut struktur belanjawan ditetapkan, pusat servis di seluruh negara, latihan pemandu dan pentadbiran, serta pengurusan kenderaan yang cekap.

Servis Cegahan

Penyenggaraan cegahan adalah program sistematik yang diamalkan SPANCO bagi memastikan kenderaan berada pada tahap boleh gerak yang tinggi dengan memelihara enjin dan peralatan supaya  sentiasa berfungsi dengan sempurna.

Ia meliputi pemeriksaan kenderaan, sistem pelinciran, penyelarasan, pembersihan, uji pandu, pembaikan dan penukaran alat ganti. Selain itu, peralatan yang diramal akan rosak, akan diganti bagi mengelakkan masalah yang boleh mengurangkan keupayaan kenderaan.

Tahap keupayaan dan penggunaan sesebuah kereta dapat dipertingkatkan dengan memaksimumkan penyenggaraan proaktif dan meminimumkan penyenggaraan reaktif.

Bezanya ialah penyenggaraan proaktif adalah servis cegahan yang dilaksanakan secara berkala iaitu dengan ‘mencegah sebelum rosak’. Penyenggaraan reaktif pula adalah pembaikan kerosakan yang dilakukan secara spontan tanpa dirancang, yang kebanyakan berpunca daripada pengabaian servis cegahan.

Artikel sebelum ini
Artikel seterusnya

Lain-lain Artikel

Berkaitan

spot_img

Terkini

Tanda Alternator Belt Perlu Diganti Segera

Alternator adalah penjana kuasa yang memastikan bateri kenderaan dicas dan berfungsi menghidupkan komponen elektrik utama kenderaan. Tanpa komponen ini, bateri kenderaan akan cepat habis...

5 Cara Mengelakkan Kemalangan Jalan Raya

Kemalangan jalan raya kian meningkat dan terdapat peningkatan angka kematian berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kesedaran keselamatan dikalangan pengguna jalan raya amat penting bagi membantu mengurangkan...

Amalan Makanan Sahur Sihat

Sahur merupakan santapan pertama di awal pagi sebagai bekalan untuk memastikan badan kita kekal bertenaga sepanjang hari sewaktu berpuasa. Oleh yang demikian, pemilihan makanan...

Tips Hindari Dehidrasi Ketika Cuaca Panas di Bulan Puasa

Tubuh badan kita mengandungi sebanyak 70 peratus air dan mudah mengalami masalah dehidrasi sekiranya kandungan air tidak mencukupi. Perkara ini biasa berlaku terutamanya ketika...

Punca Kenderaan Bergegar Apabila Membrek

Kenderaan bergegar apabila membrek bukan sahaja boleh mengganggu fokus pemanduan, malah menimbulkan keresahan dan kebimbangan mengenai tahap keselamatan kenderaan yang sedang dipandu. Antara punca-punca...

Ingin mengikuti berita dan artikel terkini?

Isi maklumat anda dan kami akan terus berhubung dengan anda di masa hadapan. Semudah itu!