Penyenggaraan kenderaan adalah salah satu rutin wajib dilakukan oleh pengguna kereta bagi memastikan komponen-komponen kenderaan sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Alat-alat ganti tersebut perlu ditukar disebabkan kesan penggunaan, perbatuan dan usia kenderaan. Disenaraikan beberapa komponen kereta yang perlu anda ganti apabila tiba masanya seperti berikut:
1. Pelincir dan Penapis Minyak
Pelincir enjin, brek, bendalir penyejuk dan penapis pelincir perlu diganti ketika penyenggaraan kenderaan. Ia penting untuk mengelakkan berlakunya kerosakan pada enjin serta komponen lain seperti brek, sistem transmisi, sistem gantungan, penyejukan dan sebagainya.
Lazimnya pelincir dan penapis minyak perlu diganti setiap tiga hingga enam bulan atau setelah bacaan perbatuan mencapai setiap 5,000 dan 10,000 km.
2. Bilah Pengelap Cermin
Ramai mengabaikan penjagaan pengelap cermin yang memainkan peranan penting dalam keselamatan pemanduan. Penglihatan jelas ketika memandu terutamanya ketika musim hujan bergantung pada fungsi bilah pengelap cermin.
Ia perlu dibersihkan secara kerap untuk mengelakkan pengumpulan kotoran seperti pasir dan debu di bawah bilah. Bilah pengelap cermin biasanya perlu diganti setiap satu atau dua tahun walaupun kadangkala ia akan haus dengan lebih cepat ketika musim panas terutamanya apabila kereta anda berada di luar.
3. Penapis Udara
Penapis udara merupakan komponen penting kenderaan yang berfungsi sebagai pembersih udara dalam sistem pendingin hawa. Ia juga berfungsi sebagai penapis udara yang mengalir dari luar kenderaan ke kabin serta menghalang segala kotoran, debu, habuk dan debunga menerjah masuk ke dalam ruang kabin anda.
Penapis udara biasanya perlu diganti berdasarkan tempoh masa yang ditetapkan oleh pengeluar kenderaan atau setiap enam bulan sekali untuk memastikan ia berfungsi secara optimum.
4. Pelapik Brek
Pelapik brek boleh cepat haus bergantung pada cara pemanduan. Ia biasanya akan bertahan antara 30,000 hingga 70,000 km bacaan perbatuan atau pada jangka waktu tiga hingga lima tahun. Namun, keadaan pelapik brek boleh dipengaruhi secara drastik oleh pembolehubah seperti jenis kenderaan, jenis pelapik brek serta jenis pemanduan. Pastikan anda sentiasa memeriksa keadaan tayar kereta dan berwaspada dengan tanda-tanda kerosakan pelapik brek.
5. Bateri
Bateri merupakan salah satu komponen utama kenderaan yang diperlukan untuk terus bergerak lancar di atas jalan raya. Ia biasanya akan bertahan antara dua hingga lima tahun. Namun, selepas setahun digunakan anda disarankan memeriksa keadaan bateri sama ada perlu dicas semula ataupun ditukar baharu.
6. Tayar
Tayar adalah komponen kenderaan paling penting yang memerlukan penyenggaraan rapi dan teliti. Ia berfungsi untuk menggerakkan serta menghentikan kereta. Kebiasaannya tayar akan bertahan antara lima hingga tujuh tahun tetapi anda juga perlu memeriksa keadaan tayar secara kerap kerana kondisi tayar boleh berubah bergantung pada cara pemanduan dan keadaan jalan raya.