Tayar merupakan satu-satunya komponen kenderaan yang bersentuhan dengan permukaan jalan dan terdedah kepada pencemaran. Oleh itu, penjagaan tayar yang betul sangat penting untuk ia berfungsi dengan baik dan meningkatkan jangka hayatnya. Ikuti empat langkah mudah ini untuk membersihkan tayar kereta seperti berikut:
1. Sediakan Barang Pencuci
Sebelum memulakan proses mencuci tayar kereta, anda perlu menyediakan barang asas seperti baldi, kain mikrofiber, hos getah paip air dan berus lembut. Pastikan anda menggunakan pencuci khas untuk tayar dan elakkan penggunaan sabun basuh baju atau pinggan kerana ia tidak berkesan untuk menanggalkan kotoran pada tayar.
2. Mencuci Tayar
Selepas anda menyediakan alatan dan barang pencuci, mulakan dengan menyembur air pada tayar kereta agar dapat mengeluarkan kotoran yang terlekat seperti minyak, batu-batuan, pasir dan sebagainya. Anda juga boleh menggunakan ‘water jet’ untuk mengeluarkan kotoran degil daripada bahagian dalam rim.
3. Gosok Tayar
Selepas anda mencuci tayar dengan air, gosok permukaan tayar dengan teliti. Mulakan dengan tayar, dan teruskan ke roda untuk mengelakkan kotoran tayar menitis pada muka roda yang bersih. Gunakan berus bulu lembut untuk gosok tayar dengan bahan pencuci tayar. Sekiranya tayar kereta sangat kotor dengan kesan minyak, pastikan anda membiarkan pencuci atas tayar selama beberapa minit sebelum menggosok semula.
Kemudian, ulangi proses menggosok dan mencuci beberapa kali sehingga tayar kereta kelihatan bersih. Pastikan anda membersihkan sehingga mencapai celah roda di mana pelapik brek terletak kerana kebanyakan habuk yang dihasilkan oleh pelapik brek terkumpul di kawasan ini.
4. Menggilap Tayar dengan ‘Wax’
Langkah terakhir adalah menggilap tayar kereta dengan ‘wax’ agar ia kelihatan seperti tayar baharu. Sapukan ‘wax’ dengan aplikator span khas yang disediakan sebelum menggilap getah. ‘Wax’ tayar yang baik akan memulihkan dan melindungi permukaan tayar seperti kelihatan baharu serta ia berfungsi sebagai lapisan penghalang daripada segala jenis pencemaran jalan raya serta cuaca.
Anda juga disyorkan untuk ‘wax’ tayar kereta sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk perlindungan optimum.