Lemang adalah makanan tradisional masyarakat Melayu yang digemari ramai. Ia merupakan juadah wajib ada pada musim perayaan seperti Hari Raya. Lemang lebih dianggap sebagai makanan yang melambangkan kemeriahan dan hubungan silaturahim antara sesama manusia. Dengan ini, disenaraikan beberapa lokasi makanan lemang di Lembah Klang seperti berikut:

1. Lemang Daun Lerek Greenwood
Lemang Daun Lerek Greenwood yang terletak di Gombak sangat popular kerana keenakannya. Ia sentiasa dipenuhi orang ramai terutamanya ketika musim perayaan sehingga anda perlu melakukan tempahan awal untuk menikmati lemangnya.
Lemang ini menggunakan daun lerek bagi memudahkan pembeli untuk menarik sahaja batang daun lerek yang di hujung tanpa perlu memotong buluh. Antara lemang yang popular di sini adalah Lemang Biasa, Lemang Pulut Kuning dan Lemang Pulut Hitam. Anda juga boleh buat tempahan untuk hari istimewa lain seperti hari jadi, majlis makan malam, kenduri dan sebagainya.

2. Lemang Power
Lemang Power yang terletak di Jalan Budiman bukan sahaja popular kerana lemang tetapi menarik minat orang ramai dengan rendang hijaunya yang sangat lazat. Lemang Power menyediakan lemang buluh dengan pelbagai saiz berbeza seperti saiz M, L, XL, dan 2XL. Selain itu, terdapat juga rendang ayam, rendang daging, serunding daging, serunding ayam dan asam pedas daging tetel yang boleh didapati di gerai mereka.

3. Lemang Bonda Subang
Teringin makan lemang jagung? Kunjungi Lemang Bonda Subang yang terletak di Kampung Melayu Subang, Shah Alam untuk menikmati lemang jagung selain lemang biasa lain. Pengasasnya Bonda Emma berniaga di Shah Alam lebih 30 tahun hingga terkenal di pelosok Shah Alam. Selain lemang terdapat juga rendang daging, rendang ayam, ketupat nasi dan ketupat palas yang boleh didapati di sini.
Lemang Bonda sangat unik kerana masakannya adalah konsistant dan sekata. Selain itu, panjang saiz lemang adalah sama rata dan dijual pada harga yang sangat berpatutan. Anda juga boleh menempah lemang untuk perayaan istimewa dengan Lemang Bonda Subang pada bila-bila masa.

4. Lemang Tok Janggut
Lemang Tok Janggut menjual pelbagai jenis lemang seperti pulut putih, pulut hitam dan jagung. Terletak di Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur, lemang yang cukup berlemak ini diusahakan oleh Tok Janggut sejak 15 tahun lalu. Selain lemang, terdapat juga rendang ayam, daging, serunding dan kambing bakar yang boleh didapati di sini.
5. Pak Ali Lemang Asli
Penduduk di sekitar Ulu Klang yang gemar makan lemang kunjungi Pak Ali Lemang Asli yang terletak di Jalan MRR 2 bagi menikmati lemang enak. Lemang Pak Ali yang beroperasi sejak tahun 1984 telah mendapat jolokan ‘Lord of the Lemang’ antara lemang yang popular di Lembah Klang kerana keenakan dan kelembutan pulut dengan aduan bahan asli lemang. Kunjungi Pak Ali Lemang Asli bagi menikmati lemang paling lazat di Ulu Klang bersama keluarga dan rakan anda.