Siapa yang tidak suka makan pencuci mulut atau ‘dessert’? Mesti ramai dalam kalangan anda yang gemar makan sehingga sanggup membuat ‘day-trip’ untuk mencuba makanan di kafe popular dan viral. Bagi memudahkan lagi aktiviti mengunjungi lokasi juadah pencuci mulut, disenaraikan beberapa tempat yang wajib anda kunjungi seperti berikut:

1. Shugatori Dessert Cafe
Shugatori Dessert Cafe yang terletak di Damansara Utama merupakan antara kafe popular bagi hidangan pencuci mulut yang disediakan terutamanya bagi ‘waffle’. Ya, betul! Waffle Shugatori mempunyai pelbagai pilihan perisa yang pasti akan menjadi kegemaran anda seperti Banana Bomb, Kyoto Matcha, Yin Yang, Taro dan sebagainya.

Uniknya lagi adalah waffle di sini bukan seperti waffle biasa tetapi ia boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan size yang unik. Selain itu, terdapat juga pilihan pemanis mulut yang lain seperti croissant, macaron, kek, ais krim, kopi, teh, jus dan sebagainya.

2. Dubai
Sudahkah anda kunjungi restoran Arab yang viral baru-baru ini? Dubai yang terletak di Pavilion kini mendapat perhatian ramai khususnya golongan wanita bukan sahaja kerana keenakan makanan Arab malah untuk pencuci mulut Arab di sini.
Jika anda teringin makan juadah Arab atau Turki bolehlah kunjungi Dubai kerana mereka menyediakan menu seperti Kunafa, Briyani, Baklava, Halawat, Basbousa dan sebagainya.

3. Sugirl Desserts
Inginkan makanan yang diperbuat daripada bahan semula jadi dan tanpa pewarna? Kunjungi Sugirl Dessert yang terletak di Glomac Centro, Petaling Jaya bagi menikmati pencuci mulut popular Malaysia.

Terdapat lebih lima puluh jenis pencuci mulut dan snek termasuk pulut mangga, bubur cha cha, waffle, Longan Soycube, Mochi in Ginger Soup, Sea Coconut Longan dan sebagainya.

Jika anda kunjungi lokasi ini jangan lupa menikmati hidangan ‘bestseller’ mereka iaitu Rainbow Pulut yang mengandungi Butterfly Pea Flower, Pandan, Thai ChaTraMue Thai Tea dan Purple Black Rice. Memang sedap!

4. Chabashira Tea Roastery
Adakah anda penggemar Matcha? Chabashira Tea Roastery yang terletak di Taman Paramount adalah lokasi sesuai untuk anda menikmati pencuci mulut kegemaran anda. Chabashira sangat terkenal untuk hidangan pencuci mulut matcha mereka yang lazat dan bervariasi.

Matcha tart, kek, swiss roll, waffle, macaron, ais krim, puff, latte dan sebagainya disediakan oleh kafe ini. Selain pencuci mulut, ruang kafe ini juga sangat menarik kerana ia disediakan berdasarkan gaya Jepun.

5. Oh Apong
Oh Apong yang terletak di Kota Damansara merupakan kafe ‘instagrammable’ yang wajib anda kunjungi untuk menikmati pencuci mulut Bumi Kenyalang. Ais krim di sini sangat terkenal kerana menggunakan Gula Apong.

Uniknya Gula Apong dengan Gula Melaka kerana ia diperbuat daripada nira nipah. Penggemar pencuci mulut jangan lepaskan peluang untuk makan aiskrim gula apong yang mempunyai tekstur lembut dan enak dimakan di sini. Bukan sekadar ais krim, Oh Apong turut menyediakan hidangan lain yang terdiri daripada kek, kopi, croissant, biskut dan sebagainya.