Tempat-Tempat Bersejarah Lambang Kemerdekaan Negara

Terdapat bangunan-bangunan bersejarah di Malaysia yang menjadi lambang identiti negara dan sering dikaitkan dengan perjuangan rakyat untuk mendapatkan kebebasan daripada penjajah. Kita perlu mengenali tempat-tempat bersejarah ini kerana ia merupakan khazanah berharga yang perlu dipelihara dan dipertahankan selain sarat dengan elemen patriotisme. Disenaraikan beberapa tempat bersejarah negara kita yang menjadi lambang kemerdekaan seperti berikut:

1. Bangunan Sultan Abdul Samad

merdeka
Sumber: Instagram @kualalumpurcity @mingleeng

Bangunan Sultan Abdul Samad adalah mercu tanda bandar raya Kuala Lumpur yang biasanya menjadi lokasi utama sambutan Hari Kemerdekaan. Bangunan ini telah dibina pada tahun 1893 dan merupakan bangunan warisan yang masih dilindungi keaslian reka bentuknya. Di sinilah bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan bendera Jalur Gemilang dikibarkan.

Ia mempunyai ciri reka bentuk ‘saracenic’ yang berasaskan seni bina Moghul dan Moor. Bangunan dua tingkat ini mempunyai reka bentuk unik dengan 3 kubah utama, satu menara jam besar, arked dan lengkungan yang luas.

2. Tugu Negara

37253745_m

Tugu Peringatan Negara atau juga dikenali sebagai Tugu Negara telah dibina pada tahun 1966 sebagai lambang penghormatan kepada lebih 11,000 perajurit negara yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama, Kedua dan ketika zaman darurat demi menjaga keamanan negara.

Monumen setinggi 15 meter yang diperbuat daripada gangsa ini terletak di ibu negara Kuala Lumpur. Lambang kemegahan bangsa dan negara ini telah direka bentuk oleh seorang pengukir dari Austria, Felix de Weldon. Terdapat sebanyak tujuh patung lelaki yang menggambarkan kejayaan askar Tanah Melayu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

3. Muzium Negara

mn
Sumber: http://www.jmm.gov.my/

Muzium Negara adalah sebuah bangunan cantik bercirikan seni bina Melayu tradisional yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur sebagai gedung khazanah sejarah negara.

Muzium ini telah dibuka secara rasmi pada tahun 1963. Terdapat sebanyak empat galeri yang mempamerkan naratif sejarah Malaysia iaitu Galeri Prasejarah, Galeri Kerajaan-Kerajaan Melayu, Galeri Era Kolonial dan Galeri Malaysia Kini.

Ia merupakan peneraju aktiviti permuziuman di negara ini dan menjadi pendokong kepada pemuliharaan serta pengekalan warisan koleksi khazanah negara. Muzium negara adalah khazanah Malaysia yang mempamerkan dan memanfaatkan bahan artifak warisan sejarah negara bagi tujuan pendidikan masyarakat ke arah pembinaan jati diri dan pembangunan bangsa.

4. Stesen Keretapi Kuala Lumpur

KL Railway Station – Main
Sumber: www.myrokan.com

Perusahaan bijih timah berkembang dengan pesat sewaktu pemerintahan penjajah Inggeris di Tanah Melayu. Perkembangan pesat ini telah menyebabkan penjajah membina sistem pengangkutan darat iaitu kereta api bagi mengangkut bijih timah.

Pada tahun 1886, Stesen Keretapi Kuala Lumpur telah siap dibina bersamaan dengan jalan kereta api yang pertama di antara Bukit Kuda, Kelang dan Kuala Lumpur. Pembantu arkitek British Arthur Benison Hubback adalah individu yang mereka bentuk stesen berkenaan yang siap dibina pada 1910.

Pembinaannya menggantikan stesen lama di tapak asal dan pernah dijadikan hab kereta api bandar raya itu bagi Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Keretapi Tanah Melayu sebelum Kuala Lumpur Sentral mengambil alih peranannya pada 2001.

5. Kota A Famosa

A Famosa, Malacca, Malaysia.

Kota A Famosa merupakan salah satu tempat bersejarah di Bandaraya Melaka yang terletak di Bandar Hilir. Ia telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja mereka berjaya menawan Melaka pada tahun 1511 dan telah menjadi tembok pertahanan mereka.

Kubu pertahanan ini telah melindungi mereka daripada serangan penjajah lain kerana ia mempunyai empat menara dengan tembok setebal 2 meter hingga 4.5 meter. Terdapat juga beberapa meriam yang diletakkan sebagai senjata Portugis untuk melindungi diri daripada serangan Belanda.

Selepas Belanda mengambil alih Kota Melaka, kubu ini pula menjadi benteng pertahanan untuk mereka. Pada tahun 1795 atas persetujuan dua pihak Belanda dan British, Belanda terpaksa menyerahkan Kota Melaka secara sementara kepada British. Pada era pemerintahan British kubu ini telah diletupkan supaya pada masa akan datang tidak lagi menjadi pertahanan ampuh tentera Belanda.

Akibat letupan tersebut hanya terdapat pintu gerbang Kota A Famosa atau dikenali sebagai Pintu Gerbang Santiago yang masih kekal sebagai lambang penjajahan di Melaka. Ia juga merupakan struktur seni bina Eropah yang paling tua yang masih kekal di Asia.

Lain-lain Artikel

Berkaitan

spot_img

Terkini

5 Tanda Menukar Tayar Kereta

Menukar tayar kereta adalah satu aspek penting dalam penjagaan kenderaan agar anda dapat memandu dengan selesa. Di samping memastikan keselamatan, tayar yang berada dalam...

Cara Memilih Minyak Enjin Sesuai untuk Kenderaan Anda

Minyak enjin memainkan peranan yang penting dalam prestasi kenderaan. Pemilihan minyak enjin yang sesuai adalah langkah penting untuk memastikan enjin berfungsi dengan baik dan...

Langkah Menjaga Keselamatan Ketika Bercuti untuk Perjalanan Tanpa Risiko

Ramai mesti merancang percutian sempena hujung tahun dan cuti sekolah bagi meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan. Dengan peningkatan kes COVID-19, adalah penting untuk...

5 Destinasi Percutian di Lembah Klang yang Mempesonakan

Cuti sekolah adalah waktu yang tepat untuk merancang percutian bersama keluarga, dan Lembah Klang menawarkan pelbagai destinasi menarik untuk dinikmati. Dari pusat bandar yang...

Majlis Penyerahan 69 Buah Model Kereta Perodua Aruz SUV 1.5x kepada IPD Kuching

8 Disember 2023 - Majlis penyerahan kereta konsesi kerajaan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah diadakan di dewan terbuka Ibu Pejabat Kontigen (IPK)...

Ingin mengikuti berita dan artikel terkini?

Isi maklumat anda dan kami akan terus berhubung dengan anda di masa hadapan. Semudah itu!