Malaysia merupakan salah satu negara yang kaya dengan kepelbagaian lautan. Ramai pelancong dari dalam dan luar negara gemar melancong ke pulau-pulau di negara ini untuk menikmati keindahan laut bersama keluarga dan rakan-rakan. Selain itu, pulau di Malaysia mempunyai tapak menyelam skuba yang cantik untuk dinikmati. Disenaraikan beberapa lokasi syurga bawah laut yang boleh anda kunjungi pada musim percutian akan datang:
1) Pulau Perhentian
Pulau Perhentian sentiasa menjadi pilihan orang ramai sebagai lokasi percutian menarik. Ia bukan sahaja antara pulau terbesar di pantai timur malah ia terkenal dalam kalangan penyelam profesional untuk melakukan aktiviti menyelam.
Terumbu Tiga, Tanjung Besi, Rubix Cube Reef dan lain-lain merupakan antara lokasi menyelam pilihan orang ramai. Anda dapat menyaksikan hidupan marin serta terumbu karang mengasyikkan di sini.
2) Pulau Sipadan
Syurga menyelam yang terkenal untuk melihat ciptaan laut menarik terletak di Pulau Sipadan, Sabah. Lokasi ini adalah antara lokasi yang dinobatkan sebagai salah satu tempat menyelam terbaik di dunia.
Para penyelam gemar ke sini kerana terdapat pelbagai jenis spesis marin yang hebat dapat dilihat di satu tempat.
Salah satu lokasi menyelam terkenal di pulau ini adalah Barracuda Point di mana anda boleh menikmati pandangan sekumpulan ikan baracuda selain ikan spesis lain.
3) Pulau Payar
Pulau Payar di Kedah merupakan antara pulau yang diwartakan sebagai Taman Laut di Malaysia. Tempat menyelam di pulau ini sering menjadi pilihan orang ramai kerana ia dikelilingi terumbu karang berwarna-warni dan mempunyai pelbagai spesis ikan. Anda juga dapat melihat ikan yu sirip hitam yang bebas berenang tanpa sebarang ancaman.
4) Pulau Redang
Selain melakukan aktiviti air biasa dan ‘jungle trekking’, Pulau Redang turut terkenal dalam aktiviti menyelam. Lokasi seperti Big Mount, Terembu Kili, Mini Mount, Tanjung Tokong dan dua puluh lokasi menyelam lain mempunyai pelbagai jenis hidupan laut termasuk tapak sulaiman, terembu karang, udang, ikan yu dan sebagainya yang dapat anda menyaksikan.
Ia merupakan tempat yang sesuai untuk mempelajari kursus menyelam kerana harga kursus yang berpatutan.
5) Pulau Lang Tengah
Pulau yang tenang dengan suasana indah ini amat sesuai untuk menikmati masa bersama insan tersayang. Keindahan pasir putih di Pulau Lang Tengah yang terletak di Terengganu mempunyai lokasi terbaik bagi para penyelam untuk melakukan aktiviti skuba serta mendapat lesen menyelam.
Terdapat sebanyak dua belas tapak menyelam dengan kedalaman dari tujuh hingga dua puluh enam meter dan hanya terletak lima hingga lima belas minit dari resort.
6) Pulau Kapas
Dengan mempunyai lebih daripada 8 tapak menyelam, Pulau Kapas merupakan lokasi pilihan yang menakjubkan untuk menyelam skuba di Malaysia. Terembu karang dan dunia bawah laut di pulau ini masih berada dalam keadaan murni. Para penyelam dapat menikmati keindahan marin yang cantik bersama rakan penyelam anda.
7) Pulau Tioman
Kehebatan Pulau Tioman tidak kurang daripada pulau-pulau lain yang terdapat di Malaysia. Pulau yang terletak di negeri Pahang ini terkenal dengan keindahan alam semula jadinya.
Batu karang cantik, pelbagai jenis ikan, penyu, dan lain-lain hidupan marin dapat dinikmati di sini. Ia juga antara lokasi menarik untuk melakukan aktiviti kayak dan snorkeling.
8) Pulau Mabul
Bagi pelancong yang ingin cuba menyelam bagi pertama kali boleh mengunjungi Pulau Mabul di Sabah kerana ia mempunyai perairan yang tidak begitu dalam. Jangan lepaskan peluang emas ini untuk mencuba aktiviti menyelam dengan panduan jurulatih mahir bersama anda.
Anda dapat melihat pelbagai jenis ikan berwarna-warni, terumbu karang dan lain-lain dengan tenang.
9) Pulau Kapalai
Air jernih yang membiru di Pulau Kapalai dengan pantai pasir kecil merupakan salah satu tempat menyelam yang paling menakjubkan di Sabah. Anda dapat melihat terumbu karang dari dekat dengan menginap di resort terapungnya.
Antara lokasi menyelam menarik di sini adalah Mandarain Valley, Cleaning Station, Ray Channel, Eel Garden dan sebagainya.
10) Pulau Tenggol
Pulau Tenggol adalah lokasi menyelam yang disyorkan untuk penyelam berpengalaman. Ia terletak di Terengganu yang mempunyai beberapa pusat peranginan yang hebat. Terumbu karang di lokasi ini tidak tercemar kerana ia masih dijaga dengan baik. Jangan lepaskan peluang untuk menerokai kehidupan laut pulau ini yang cantik dan meriah. Terdapat lebih 10 tempat menyelam yang menakjubkan dengan landskap bawah laut menarik.