Raikan cuti hujung minggu yang panjang pada bulan ini bersama keluarga atau rakan anda dengan percutian ‘glamping’. ‘Glamorous camping’ yang juga dikenali sebagai ‘glamping’ merupakan satu aktiviti percutian yang menarik bagi seisi keluarga. Dilengkapi dengan tapak perkhemahan dan kelengkapan penginapan, lokasi yang disenaraikan berikut pastinya memberikan anda satu kenangan percutian yang menarik.

1) Sekeping Serendah
Pernah teringin menginap di tengah-tengah hutan? Jika ya, terletak tidak jauh dari Kuala Lumpur, Sekeping Serendah menawarkan tempat ‘glamping’ sesuai untuk anda menikmati percutian dengan pemandangan indah hutan hujan tropika. Penginapan yang direka secara ringkas, mesra alam, lapang dan terbuka dengan kemudahan kolam renang berhampiran bilik adalah antara kemudahan disediakan oleh pihak pengurusan di tempat ini.

Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman penginapan luar biasa sambil melakukan aktiviti barbeku, ‘trekking’ ke Air Terjun Serendah dan memancing.

2) Canopy Tribes
Terletak tidak jauh dari kawasan Air Terjun Kota Tinggi, Johor, Canopy Tribes merupakan kawasan ‘glamping’ paling sejuk dikelilingi flora dan fauna yang menarik. Nikmati ciptaan Tuhan sambil menyanyi dan berkongsi cerita di sekitar unggun api pada waktu malam. Menjamu selera bersama keluarga dengan makan barbeku yang lazat sambil bermain atau melihat bintang di langit.

Terdapat khemah yang dilengkapi dengan segala kemudahan yang diperlukan untuk anda berehat sambil melihat pandangan yang mengasyikkan. Lakukan aktiviti mendaki Gunung Panti, berkayak, berbasikal, memandu ATV dan sebagainya di sini.

3) The Sticks
Hayati panorama yang indah dikelilingi alam semula jadi di ‘glamping’ The Sticks yang terletak di Kuala Kubu Bahru, Selangor. Penginapan berasaskan suasana kampung akan memberi anda percutian ala kampung. Celupkan kaki di air terjun dengan tinggal di tendok yang disediakan oleh pengurusan mereka. Tendok adalah gabungan nama penginapan di The Sticks yang bermaksud ‘tent’ dan pondok yang terletak betul-betul di tepi sungai.

Lokasi yang agak tersorok daripada laluan utama, anda dapat menikmati percutian bebas daripada sebarangan gangguan persekitaran bandar di samping melakukan aktiviti menarik seperti ‘trekking’, ‘paragliding’, ‘whitewater rafing’ dan sebagainya.

4) Gopeng Glamping Park
Suka melakukan aktiviti lasak sambil menikmati panorama yang mengasyikkan? Kunjungi Gopeng Glamping Park yang terletak berhampiran sungai yang menawarkan aktiviti lasak seperti ‘white water rafting’, ‘waterfall abseiling’ dan lain-lain. Bermandi-manda bersama keluarga sambil menjamu selera dengan makanan yang disediakan oleh pengurusan tempat ini.

Mengeratkan hubungan bersama rakan atau keluarga dengan melakukan aktiviti menarik di hadapan unggun api sambil memasak barbeku. Rasakan pengalaman berkhemah yang unik serta menghidupkan kembali kenangan zaman remaja anda di tempat ini.

5) Dusun Bonda
Terletak di pedalaman yang berdekatan dengan kampung orang asli di Ulu Tamu, Dusun Bonda adalah tempat percutian sesuai untuk membawa kembali kenangan zaman kanak-kanak anda. Kawasan yang bersih, selesa, sejuk dan dikelilingi alam sekitar mempunyai pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengunjung.

Antaranya ialah mandi-manda di sungai, main permainan tradisional, ‘jungle trekking’, memancing, dan lain-lain. Nikmati masakan rumah secara layan diri sambil menjamu selera menghadap sungai. Ketenangan luar biasa boleh dirasai di Dusun Bonda.