Terdapat banyak tempat menjamu selera di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya. Dengan pelbagai set menu, konsep dan harga ditawarkan, medan selera dan restoran yang beroperasi itu menjadi tumpuan bukan sahaja ribuan penjawat awam, malah pelancong dan penduduk sekitarnya.
Putrajaya International Convention Centre (PICC)
Apabila menyebut soal makan di PICC, ramai yang terlintas mengenai buffet makan tengah harinya. Dengan harga hanya RM25 (dewasa) dan RM 12.50 (kanak-kanak), pelanggan boleh menikmati variasi menu tempatan seperti nasi beriani, ayam golek, patin masak tempoyak, ikan keli masak merah serta bermacam-macam lagi lauk sekaligus menjadikan makan tengah hari anda cukup meriah dan menyelerakan. Jangan lupa memesan ABC atau puding roti sebagai pencuci mulut.
Putrajaya Sentral
Gateway Putrajaya sama ada bas ekspres, Nadi Putrajaya atau Express Rail Link (ERL) tetapi jangan terlepas pandang Putrajaya Sentral sebagai satu lokasi menjamu selera utama di Putrajaya. Di aras 1, ada banyak kiosk menjual makanan ‘grab eat’. Tidak kisahlah sama ada anda sedang menunggu ERL atau bas, pastikan layan dulu perut yang lapar itu.
Penanggah Taman Warisan
Macam-macam ada di sini. Paling popular ialah nasi ayam berempah, bakso, roti john, coconut shake, pulut mangga, cendol serta sate Kajang. Semua menu wajib makan ini adalah daya penarik pelanggan singgah makan di Penanggah Taman Warisan. Lokasi ini turut dibuka pada sebelah petang dengan menawarkan jualan yang bersesuaian dengan waktu untuk menghirup teh atau kopi sambil menikmati panorama sekitarnya.
Shell Out – Ayer8
Konsep makan longgok yang dinamakan Shell Out yang menghidangkan makanan laut, sudah dikenali sejak beberapa tahun lalu. Tidak ketinggalan di Putrajaya juga ada premis yang menawarkan Shell Out dengan makanan laut yang segar-segar dan pelbagai. Kunjungi premis di Unit C1-G-3a, [email protected], Jalan P8G, Presint 8, Putrajaya untuk menikmati Shell Out yang pasti memenuhi selera anda!
Cruise Tasik
Tasik yang ada di merata presint di Putrajaya bukan tasik asal. Ia adalah antara komponen landskap yang diwujudkan ketika pembangunan Putrajaya dan terdapat pelbagai aktiviti air di tasik-tasik utamanya. Antaranya ialah Cruise Tasik di mana anda dan keluarga berpeluang untuk menikmati sarapan lewat pagi, makan tengah hari, minum petang atau makan malam di atas bot persiaran. Pelayaran mengambil masa 1-2 jam dengan pilihan menu tempatan atau barat disajikan.
Umai Café
Terlajak laris! Demikian hebatnya cekodok pisang, cucur udang, lempeng kelapa dan lempeng pisang di Umai Café yang wajib anda pesan dan nikmati di sini! Selain itu, ada banyak lagi menu menarik boleh anda pesan dan nikmati sambil dihembus bayu Tasik Putrajaya. Lokasinya bersebelahan Menara Monumen Alaf Baru. Umai Café menyajikan pelbagai jenis masakan panas seperti masakan Melayu dan Thai, selain mee rebus Umai, laksa utara, bihun sup utara ,nasi lemak, masakan western dan pelbagai jenis bubur.
Medan Selera Taman Warisan Pertanian
Lokasi medan selera ini sangat bersih dan selesa. Suasana persekitaran yang agak tenang dan agak jauh, amat sesuai untuk pelanggan yang gemar makan sambil bersantai dan untuk mereka yang mahu menikmati hidangan dalam suasana tenang. Pastikan anda menikmati menu-menu ibu jari seperti Unan Roti John, “Coconut Shake”, Nasi Ayam Hainan dan Sate Haji Samuri.
Medan Selera Presint 9
Secara umumnya, medan selera menawarkan pelbagai menu menyelerakan. Begitu juga dengan Medan Selera Persint 9 yang menampilkan hidangan istimewa selera Johor iaitu Kacang Pool yang biasanya hanya ada di Larkin, Johor dan lontong sambal sotong. Lokasi medan selera ini adalah di Jalan P9e, Presint 9, Putrajaya.
Pasar Tani Presint 2
Pasar Tani di tengah-tengah Putrajaya boleh anda kunjungi di lokasinya yang berhadapan Masjid Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi. Terdapat lebih 300 gerai menjual barangan termasuk produk segar tani, minuman, makanan, buahan, pakaian hinggalah barang kelengkapan rumah. Yang menariknya, anda boleh membeli dan menikmati 10 jenis cekodok – cekodok labu, cekodok kucai, cekodok buah naga, cekodok kentang, cekodok keledek, cekodok bilik, cekodok durian, cekodok pisang, cekodok jagung serta cekodok udang. Mantap rasanya.