Kepercayaan Kerajaan Menjadi Asas Pengukuhan Perkhidmatan
Sejak pelantikan pada tahun 1994 sebagai penyedia pengurusan kenderaan konsesi, SPANCO terus diberi kepercayaan untuk menyokong pelaksanaan operasi harian kementerian dan agensi kerajaan. Kepercayaan berterusan ini telah mendorong pelaksanaan sistem pemantauan prestasi masa nyata serta peluasan keupayaan teknikal di pusat servis utama dan kawasan luar bandar.
Bermula sebagai pelaksana perkhidmatan kenderaan konsesi, peranan SPANCO berkembang seiring dengan keperluan negara. Skop pengurusan bukan sahaja merangkumi bilangan kenderaan konsesi yang meningkat, tetapi juga penyesuaian kepada keperluan perkhidmatan awam melalui pelaburan dalam pendigitalan, automasi proses rutin, serta peluasan keupayaan teknikal di pelbagai peringkat operasi.
Tumpuan utama adalah pada memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang tersusun dan selamat melalui pelaksanaan sistem pengurusan berjadual serta pematuhan kepada piawaian teknikal sedia ada.
Pengurusan Kenderaan Konsesi Kini Melebihi 15,000 Unit


Setakat suku pertama 2025, lebih 15,000 unit kenderaan konsesi telah diuruskan di seluruh negara. Peningkatan ini selari dengan peningkatan permintaan perkhidmatan daripada kementerian dan agensi kerajaan, khususnya dalam memastikan pengurusan kenderaan konsesi dapat dilaksanakan secara tersusun dan mengikut keperluan operasi semasa.
Salah satu penyerahan berskala besar yang direalisasikan baru-baru ini melibatkan penghantaran 220 unit kenderaan konsesi kepada Jabatan Penjara Malaysia, merangkumi model seperti Proton X70, Honda City, Proton Saga, Perodua Aruz dan Honda Civic. Langkah ini bertujuan memenuhi keperluan logistik, pergerakan anggota, dan urusan pentadbiran jabatan berkenaan bagi menyokong kelangsungan perkhidmatan harian.
Penambahbaikan Infrastruktur Menjamin Penyampaian yang Lebih Cekap
Bagi menyokong bilangan kenderaan konsesi yang semakin meningkat, SPANCO telah memperkukuh struktur perkhidmatan menerusi dua Pusat Servis Wilayah di Batu Caves dan Bangi yang berfungsi sebagai hab teknikal dan penyelaras utama.
Rangkaian ini turut disokong oleh 458 Pusat Servis Diiktiraf (ASC) di seluruh negara yang menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan berkala, pembaikan, pengurusan insurans dan pemantauan prestasi secara masa nyata. Di samping itu, kewujudan pejabat wilayah di Zon Selatan, Sabah, dan Sarawak serta perancangan bagi Zon Utara mempercepatkan respons tempatan dan memantapkan penyelarasan teknikal.

SPANCO juga telah melaksanakan beberapa penambahbaikan utama sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini, antaranya termasuk:
- Pelantikan pusat servis baharu berdasarkan keperluan lokasi,
- Pemantauan kualiti melalui sistem maklum balas pelanggan (VOC – Voice of Customer),
- Penilaian tahunan ASC secara menyeluruh,
- serta penetapan piawaian prestasi seperti tempoh penyelenggaraan maksimum, masa tindak balas pembaikan, dan tahap kepuasan pelanggan yang seragam di seluruh rangkaian.

Memudahkan Operasi Kerajaan Melalui Inovasi dan Sokongan Lapangan


Sebagai sebahagian daripada strategi penambahbaikan, SPANCO memperkenalkan penggunaan sistem pengurusan kenderaan konsesi secara digital dan bersepadu. Inisiatif ini membolehkan pemantauan prestasi masa nyata, penjadualan penyelenggaraan automatik, serta pelaporan yang lebih teratur dan telus.
Langkah ini membantu memudahkan penyelarasan teknikal dan mempercepat proses pelaporan serta penyelenggaraan, bagi memastikan menyokong kelancaran tugasan harian kementerian dan agensi.
Pada suku pertama 2025, beberapa program dilaksanakan bagi menyokong keperluan strategik agensi kerajaan. Antaranya termasuk Taklimat Pengurusan Kenderaan Konsesi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya serta pemeriksaan fizikal ke atas kenderaan konsesi di Bangunan Parlimen Malaysia.
Pelaksanaan ini merangkumi sesi taklimat teknikal dan pemeriksaan berkala yang memberi penekanan kepada pematuhan keselamatan, prosedur penyelenggaraan, dan pelaporan aset secara berjadual.